Showing posts with label kenangan. Show all posts
Showing posts with label kenangan. Show all posts

Sunday, 13 January 2013

Quran Terjemahan

Ini Quran terjemahan ke bahasa Cina terbitan negara Suriah... Saya dapatkannya sewaktu sedang belajar di universiti di Pulau Pinang.... Harga tak ingat lah dalam seratus lebih macam tu senang nak baca dan belajar bahasa Arab kalau ada makna...  Saya menasihat saudara-saudari berketurunan Cina supaya dapatkan yang ada terjemahan dalam bahasa kita sendiri. Kalau ada sahabat-sahabat seagama yang kurang fasih berbahasa Melayu atau berbahasa Inggeris pun, boleh lah wakafkan kepada mereka juga sambil belajar sama-sama... Semasa nak balik ke Kuala Lumpur saya ingat nak serahkan kepada saudara Muhammad Yunus sahaja suruh wakaf ke masjid di rumahnya tapi tak sempat bertemu sebab mereka pulang bercuti semester bila saya dah menamatkan tempoh..



Kenangan menghadap qiblat di Tekun asrama 2012... Rakan sebilik saya orang Melayu tapi pak cik-pak cik macam tu la. Saya panggil orang pak cik macam lah saya ni muda sangat, hehehe... Duduk seorangan lagi banyak dugaan lah terpaksa ditempuhi melawan kejahatan diri sendiri, bisikan syaitan dan belajar jangan menyalahgunakan kebebasan yang ada supaya hidup tiada sia-sia... Sebelum itu, saya pernah tinggal sebilik juga dengan orang Palestin. Dua orang silih berganti sebab bilik saya sebenarnya kosong jadi mereka letakkan saya dengan orang-orang tua... Orang Palestin yang kedua tinggal sebentar di bilik saya itu ingat saya seorang Cina walaupun saya berbahasa Arab dengan orang Palestin yang pertama kali menjadi rakan sebilik saya... hahaha

Sunday, 6 January 2013

Kenangan dengan Saudara Idris

Yang ini kenangan satu-satunya lah saya ambil gambar saudara Idris Xian Hongzhi dari wilayah Gansu, negara China. Saya ingat gambar diambil dalam tahun 2010 ketika saya baru bermula belajar di peringkat Ijazah Lanjutan. Yang sebelah kiri berbaju warna putih itu, saudara Kurnia Ramadan dari Jakarta, Indonesia. Ini dua orang, antara jemaah dalam surau Tekun di hostel tempat saya berdiam sekejap dari bulan Julai 2010 sahingga bulan Mei 2012. Saya tak ada kenangan langsung bergambar sama mereka sebab saya segan nak bergambar. Tak reti nak bergaya depan orang...


Saya ingat saya kenal dengan saudara Muhammad Idris semasa bulan Ramadan. Dia selalu senyum nampak saya di surau. Saya pun pelik apa halnya dengan budak ini. Sebenarnya senyum itu satu sedekah tapi sebab saya sebenarnya tak pernah peduli dengan sekeliling jadi saya terasa pelik lah kalau orang datang dekat dengan muka saya masa berwuduk dan tersengih-sengih. Sebab dia selalu senyum, nampak macam nak tegur jadi saya mula tegurnya dahulu dalam bas selepas balik dari salat Terawih di masjid USM. Kata pepatah Cina, jika kamu tak mulakan langkah selamanya pun tak berubah. Lagi satu orang ramai pun pelik dengan status etnik saya. Saya termasuk dalam etnik Arab peranakan. Budaya kami umumnya, yang lebih tua selalunya akan mula bercakap dahulu. Kalau saya tak tahu usia orang itu dan tak boleh mengagak, saya hanya akan diam sahaja. Saya rasa saya nampak lebih muda daripada saudara Idris walaupun saya tua daripadanya empat tahun, hahahaa....

Saya menegurnya mengguna loghat Beijing pada mulanya sebab saya takut beliau tidak faham. Tak sangka pula selepas itu orang ramai sekeliling utamanya di surau perasan dan menjadikan saya tak selesa. Ia mula membuat saya cuba bercakap loghat Mandarin Selatan serta mencampur aduk dengan bahasa Cina Kantonis, bahasa Melayu, dan bahasa lain supaya tak nampak ketara apabila bercakap dengan budak-budak negara China selepas itu. Selain cuba mengelakkan orang ramai. Sebenarnya saya tak faham loghat bahasa Cina orang Gansu. Bahasa mereka berbunyi seperti orang tercekik biji rambutan, hahaha... Saya rasa sakit kepala bila dengar mereka cakap bahasa mereka dan selalu suruh mereka guna bahasa Cina piawai. 

Sebenarnya saya tak suka tegur orang sesuka hati. Saya dalam tempoh khalwah sejak dari tahun 2005. Khalwah ini bukan maksudnya khalwah yang kena tangkap khalwat itu. Tapi khalwah maksudnya mengasingkan diri dari masyarakat dengan permohonan ampun kepada Allah Ta'ala atas dosa-dosa kejahilan serta meminta jalan pulang untuk kembali kepada kitab suci al-Quran. Apabila terlanggar pantang, saya terpaksa memotong semula botak rambut saya selain menjalani korban meminta ampun bagi perbaharui benda yang terbatal. Saya hendak terangkan pun susah. Sebab bukan semua orang faham...

Saya marah lah orang kacau tumpuan saya apabila saya tak kacau orang... Apabila seseorang itu berseorangan kamu tak boleh sangka dia seorang yang kera sumbang. Mungkin dia ada sebab-sebabnya tersendiri... Ramai juga orang datang kepada saya, bertanya itu ini tentang saya. Tapi yang tak adilnya, mereka tak pernah beritahu saya apa pun tentang diri mereka. 

Saya pun tak pernah bertanya pasal hal peribadi orang sebab menjaga adab. Kalau orang tak cerita, saya menurut dasar tak perlu bersikap ingin tahu. Tapi orang ramai selalu tanya saya hal-hal peribadi contoh sama ada saya orang Melayu atau orang Cina. Bila saya sebut saya orang Arab, mereka ingat saya bermain-main pula sebab saya tak berpakaian macam orang Arab atau bercakap bahasa Arab : ( 

Memanglah tak nampak macam orang Tanah Arab sebab nenek moyang dan orang-orang kami sudah berada di Tanah Melayu khususnya negeri utara sejak 300 tahun yang lampau wujud bersama dengan orang Melayu Muslim berkahwin campur dengan kaum lain jika mereka diislamkan bagi melindungi mereka dari diskriminasi...   

Kenangan Sebelum Tahun Baru Cina 2012

Saya hanya berjalan berseorangan melihat-lihat pekan di sekitar kawasan Georgetown sebelum perayaan Tahun Baru pada 21 Januari 2012. Orang Melayu di Pulau Penang menyebut Georgetown dengan nama lamanya sahaja, iaitu Tanjung. 

Waktu pagi saya cuma berjalan mengambil gambar kenangan. Sebenarnya saya biasa saja dengan pekan Georgetown. Sudah terlalu banyak kali pergi kerana saya memang tinggal selama lebih kurang lima tahun belajar di Pulau Pinang. Saya malas hendak memanggil semula ingatan, haha. Tempek gambar sahaja berkongsi...

Yang ini tokong Fude di Armenia Street antara yang pernah saya lawati. Saya malas hendak taipkan tulisan Cina nya. Anda boleh lihat pada papan tanda yang ada kain rentang warna merah itu. Itu lah nama tokong tersebut.  




Ini papan tanda lah sebelum masuk ke tokong itu, ada sedikit maklumat... Tempat ini untuk simpan papan nama empat perserikatan kaum keluarga...


Berikut adalah dewan sembah Jiande... Di tengah-tengah tembok tokong tu ada ruangan berkumpul dan ada juga papan-papan nama ditempek pada dinding tembok bagi mengingati penyumbang kepada pembinaan tokong.



Kuanyin Ting atau Persinggahan Bodhisatva Kuanyin yang didirikan oleh orang Kantonis di Pulau Pinang...Kuanyin adalah salah satu dewa dalam masyarakat Cina beragama Buddha. Bagi orang Cina, ia berjantina perempuan. Tapi bagi penganut ajaran Buddha dari India purba, ia tidak berjantina dan dikenali sebagai Avalokiteswara. Ia mendengar rintihan makhluk di bumi dan menurunkan belas kasihan. Saya tak pasti bagi penganut ajaran Tao sama ada dewa atau dewi ini terdapat dalam cerita-cerita agama mereka.    


Waktu tak ramai orang ok lah. Kalau ramai orang tu, mesti berkabus di depannya sakit tekak dan mata saya kerana asap kertas kuning dijampi dan juga colok yang dibakar banyak-banyak. Saya pun membakar kayu cendana, kayu pokok pear dan kemeyan juga di rumah atau di bilik. Ia bertujuan membuang bauan tak dikehendaki supaya tumpuan kerja kita tidak terganggu dengan bau busuk. Tapi saya tak membakar dengan begitu banyak. Mungkin satu atau dua batang sahaja cukup. Ia membazir pula kalau bakar banyak-banyak selain membahayakan kesihatan dan menyebabkan pencemaran udara. 


Depan laman tokong persinggahan Bodhisatva Kuanyin. Saya terangkan gambaran suasana kepada anda mungkin anda ada yang tak biasa. 

Dalam ruangan sembah utama agak sempit dan ada berhala bodhisatva atau dewa-dewa yang berperanan macam malaikat. Ada penulis jampi dan juga kotak derma. Berkabus banyak lah kalau orang sembahkan colok di situ. Ruangan sebelah kanan itu ada berhala Buddha Guru. Zaman dulu saya biasa tak pakai kasut dan membuka topi jika memakainya apabila berada di kawasan penganut Buddha walaupun ada orang pakai kasut di tokong Cina. Gambar berhala saya tak ambil satunya sebab menghormati penganut Buddhisme dan Taoisme. Yang keduanya sebab terlalu ramai orang dan berasap tebal.      

Banyak lah gambar... Saya hendak lupuskannya saja tapi rasa macam sayang pula sebab ia sejenis kenangan. Nanti tengok lah mana nak tempekkan supaya boleh dapatkan semula.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...