Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Saturday, 26 April 2014

Loghat Bahasa Cina Utara (Mandarin)


Sebenarnya saya bertutur bahasa Cina piawai saja tapi itu tidak bermaksud bahawa semua perkataan itu disebut seperti ejaan rumi bahasa Cina. Saya cuma sebut 官話 Kwan Hwa bila penutur bahasa Cina lain tanya saya. Semasa ditemuduga kerja dalam bahasa Cina dulu, penemuduga itu dengar loghat saya seperti orang Utara jadi dia sebut spontan, 普通話 Putong Hwa!... Itu loghat di Beijing sana. Saya tersinggung lalu saya beritahu, "Tidaklah tuan, saya cuma bertutur bahasa seperti orang semua di sini. Saya tak bersekolah jenis kebangsaan Cina jadi bahasa saya sudah jadi seperti wayang lama itu maaf saya lah. Saya bukan pendatang haram!".

Beza loghat Beijing dengan bahasa Cina biasa itu terdapat pada hujung ayat mereka. Habis semua pun ada bergulung "err".... Sering juga saya mengalami masalah dengan pelajar Muslim China pedalaman seperti dari wilayah Gansu (kita sebut Long saja). Mereka pun ada masa tak faham saya. Saya lagilah tak faham mereka.... Jadi saya banyak guna tulisan di kertas juga nak menjelaskan perkara... Untuk itu, sangat tidak tepat jika kita fikir bahawa loghat bahasa Cina Utara itu cuma bahasa Mandarin (sebenarnya sejenis bahasa Cina Utara) yang dipelajari di sekolah jenis kebangsaan Cina saja.

Loghat Bahasa Mandarin

Utara
  • Beijing
  • Dongbei
  • Jilu
  • Jiaoliao
  • Zhongyuan
  • Lanyin
  • Jin
Selatan
  • Jianghuai
  • Xinan
Senarai ini tidak termasuk bahasa Cina di wilayah-wilayah Guangzhou dan Fuzhou. Fuzhou pun ada bahasa dan loghat-loghat sendiri seperti loghat Chaozhou (Teochiew), Fujian Minnan, Fujian Minbei dan banyak lagi. Di Guangzhou ada bahasa Bai Yue (Bac Viet) iaitu rujukan bahasa Kantonis serta loghat mereka seperti Taishan. Di Utara pun sesetengah negeri seperti Jiangsu mempunyai bahasa sendiri seperti bahasa Wu. Begitu juga bahasa Gan (Hakka) di Selatan yang berbunyi seperti bahasa Mandarin dituturkan sekitar Jiangxi serta Hunan.

Bentuk Bunyi

Loghat sebelah sini pula banyak mengikut loghat orang Fujian dan Guangzhou. Saya pun faham loghat Guangzhou tapi bila suruh saya bercakap saya tak reti pula. Banyak perkataan disebut dengan sebutan berbeza ikut individu (sebenarnya komuniti ikut wilayah di China juga) atau ikut loghat... Contoh... 

月 (bulan) saya sebut yueh tetapi orang Gansu sebut yui.
人 (orang) saya sebut jĕrn, orang berpendidikan Cina sebut rĕn atau lĕrnn.
天 (langit) saya sebut tiê... Setengah orang sebut tin seperti orang Kantonis atau thean.
聽 (dengar) saya sebut tiĕng... Setengah orang sebut ting, setengah théngg.
魚 (ikan) saya sebut yu...Setengah orang sebut iu.
晨 (pagi) saya sebut tsĕn... Setengah orang ikut ejaan pinyin, chĕn.
小 (kecil) saya sebut hiaw... Sebutan buku, xiao (shiauw).
兄 (abang) saya sebut heong... Sebutan ikut ejaan buku, xiong (sheong).
兒 (anak) saya sebut arr... ejaan buku, ĕr.
福 (tuah) saya sebut hu... ejaan buku, fu.

Jadi, tidak semestinya bahasa Mandarin itu "standard". Ia pun mempunyai ragam mengikut rantau, wilayah, ceruk kampung, pekan, serta suku kaum.

Sunday, 22 December 2013

Ajaran Tao

Assalamu'alaikum wa rahmatullah


Ramai orang di Malaysia terutamanya berpendapat bahawa orang Cina kebanyakannya menganut ajaran Buddha. Namun, sebenarnya orang Cina bukan sebenar-benarnya menganut ajaran Buddha sebaliknya mengamalkan fahaman persenyawaan tiga serangkai iaitu Taoisme, Buddhisme, dan Confucianisme. 

Suatu ketika dahulu, saya pernah bertanya kepada rakan saya berketurunan Cina dari Banting sekitar tahun 2004. Saya tanya beliau, "Adakah awak penganut ajaran Buddha?" Beliau menjawab, "Ya, keluarga saya penganut ajaran Buddha". Saya bertanya lebih lanjut, "Jadi, awak tahukah ajaran Buddha berasal dari mana?" Jawabnya, "Ya, mestilah. Buddha adalah seorang Cina!". Saya tak dapat bertanya apa-apa lagi selepas mendengarnya. Saya cuma tertawa kecil sahaja kerana saya berasa terkejut, haha. Saya sebenarnya pernah mengikut ajaran Buddha juga selama lima tahun kerana saya menghadapi masalah kekeluargaan dan konflik dalam diri yang berkait dengan penolakan diri saya terhadap masyarakat sekitar saya. Dua nya tahun saya mengikat benang suci di biara aliran Theravada yang diamalkan seperti di negara Thailand. Kemudiannya, saya menjalani amalan upasaka (orang awam) secara rahsia yang terdiri daripada membaca triratna, pancasila, dan lapan jalan mulia seterusnya cuba mengamalkan jalan mulia walaupun keluarga saya bukan penganut ajaran Buddha sebaliknya merupakan penganut agama Islam secara turun-temurun. Ajaran Buddha sangat berkait rapat dengan benua India dan agama kebudayaan Hindu.     

Oleh itu, saya meletakan ajaran Taoism sebagai maklumat awalan jika dibandingkan dengan ajaran Buddha kerana ajaran Buddha adalah ajaran yang masuk dari luar benua China. Taoisme merupakan agama orang Cina selain daripada adat-istiadat dalam Confucianisme.

Pengenalan

Untuk pengenalan kita ini, Taoisme sebenarnya adalah tradisi falsafah dan keagamaan orang Cina yang menekankan kewujudan harmoni dengan Tao. 道 Tao ini bermaksud "Jalan" atau 'Prinsip" dan boleh juga ditemui dalam falsafah Cina dan falsafah keagamaan selain daripada ajaran Tao. Dalam ajaran Tao, dijelaskan bahawa terdapat punca yang mengeluarkan tenaga bagi setiap yang wujud. Dijelaskan dalam kitab Tao Te Ch'ing jua bahawa "Tao yang boleh dijelaskan itu maka ia bukanlah Tao yang abadi".

Ajaran Tao mempunyai pandangan semesta yang diterbitkan dari aliran Yin dan Yang. Karya utama bagi agama orang Cina ini dikumpulkan dalam kitab 道德經 Tao Te Ch'ing. Ajaran yang terdapat dalamnya sangat kabur-kabur maknanya dan boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara. Ia dikaitkan dengan tokoh zaman kuno bernama 老子 Lao Zi. Kitab utama ini kemudian dipakai bersama dengan karya 莊子 Zhuang Zi lantas membentuk dasar bagi ajaran Tao. Pada awalnya, ajaran Tao cuma diamalkan secara perseorangan sahaja. Tiada sistem seperti biara atau susunan masyarakat kebiaraan pun. 

Bentuk yang bersusunan masyarakat keagamaan pula kemudian berkembang dan mencabang menjadi aliran-aliran yang pelbagai. Aliran penganut Tao umumnya memberi sembah hormat kepada Lao Zi sebagai nenek moyang bagi tuk guru dan juga sebagai makhluk yang hidup abadi. Bersama dengan nenek moyang, terdapat lah juga pelbagai jenis amalan dan upacara seperti menghalau makhluk halus serta menenung nasib, amalan menurun, kesihatan buat umur yang panjang serta seterusnya mencapai tahap menjadi dewata kayangan.  

Asas Taoisme

Bentuk tata adab dan juga sembah hormat penganut ajaran Tao pun pelbagai bergantung menurut aliran keagamaannya juga. Namun secara umum, terdapat penekanan asas kepada 無為 Wu Vei atau tindakan yang dijalankan itu menerusi tiada tindakan atau semulajadi. Maksudnya segala perbuatan itu biar spontan sahaja. Konsep ini sebenarnya adalah konsep yang saya amalkan dalam hidup saya, haha. Kemudian, ada Tiga Khazanah yang bahasa Cinanya disebut sebagai  三寶 San Bao iaitu belas kasihan, bersederhana dan merendah hati. 

Taoisme mempunyai pengaruh mendalam terhadap kebudayaan Cina dalam beberapa abad lamanya. Upacara akan dijalankan oleh pertapa-pertapa Tao yang dipanggil Taoshi yang mengetahui selok-belok adat dalam agama rakyat Cina. Kadang-kala terdapat garis halus yang menyebabkan upacara adat menjadi kabur apabila terdapat juga persenyawaan dengan ilmu tilik nasib Cina, ajaran Buddha Dhyana, perubatan tradisional Cina, kungfu, jenis-jenis Qigong, Fengshui, dan juga ilmu kimia Cina dengan ajaran Tao. Ajaran Taoisme ini mempengaruhi masyarakat Asia lain seperti orang asli di Selatan China, orang Jepun-Korea, dan juga orang Vietnam.

Apabila sastera Lao Zi dan Zhuang Zi mula berkembang maka kedua-duanya dikumpulkan sekali dan diikat menjadi 道藏 Daozang. Ia diterbitkan pada masa-masa tertentu bagi pihak maharaja China. Beberapa kali nya dalam rentetan sejarah, ajaran Tao diangkat menjadi agama rasmi negara. 

Selepas kurun ke-17 M, ajaran Tao mula dianggap sebagai adat lapuk yang ketinggalan zaman. Sama seperti kegiatan keagamaan lain-lain, kegiatan upacara ajaran Tao turut ditekan oleh pemerintah Republik Rakyat China yang berfahaman Komunis. Ajaran Tao terus hidup dan diamalkan oleh masyarakat Cina di Taiwan, Malaysia dan lain-lain negara seberang laut dengan sedikit percampuran dengan unsur-unsur masyarakat tempatan tempat mereka bertempat tinggal.

Pada masa kini, ajaran Tao diiktiraf oleh Republik Rakyat China sebagai antara lima agama yang dibenarkan pengamalannya secara terkawal oleh pihak pemerintah.

Saturday, 18 May 2013

Pertubuhan Ikhwani China


Pertubuhan Ikhwani ini selalunya disebut 伊赫瓦尼 Yihewani atau Ikhwan sahaja. Yang ini bukan Ikhwan al-Muslimin yang merupakan pertubuhan persaudaran Muslim Mesir yang diasaskan oleh saudara Hassan al-Banna. Ini adalah pertubuhan persaudaraan orang Cina Muslim yang merupakan aliran gerakan Islam baru. Kalau orang Bangladesh dan orang Pakistan ada gerakan Jemaah Tabligh. Orang China ada juga pergerakan Ikhwani dan pergerakan-pergerakan lain.

Di negara China, pertubuhan ini disertai oleh sebahagian umat Islam bermazhab Hanafi dari tradisi Sunnah asas. Kadangkala disebut juga sebagai aliran gerakan baru. Pusat pergerakan ini adalah di wilayah Qinghai, Ningxia dan Gansu di Linxia manakala ia merebak ke Beijing, Shanghai, Henan, Shandong dan Hebei. Awalan gerakan ini bermula pada penghujung abad ke-19 M, apabila imam Ma Wanfu dari kampung Guoyuan di Hezhou belajar di Mekah. Beliau ini dipengaruhi oleh gerakan Wahabi-Salafi di Arab Saudi. Selepas pulang ke wilayah Gansu, beliau menubuhkan gerakan dengan 10 imam. Gerakan ini menolak aliran pemikiran Tasauf. Ideologi mereka bahawasanya, amalan yang tidak tersebut dalam al-Quran dan Hadis Nabawi mesti dihapuskan. Sama seperti gerakan Wahabi-Salafi, mereka menentang ziarah kubur dan murshid yang mereka anggap sebagai menyembah puja kuburan dan menentang dakwah dijalankan dalam bahasa Cina. Pada 1937, gerakan ini terbelah menjadi dua kumpulan.

Jadi di negara China, ada tiga aliran utama pergerakan Islam iaitu aliran Qadimu, aliran Ikhwani dan aliran Xidaotang. Aliran gerakan Ikhwani dikelaskan sebagai aliran ajaran baru atau xinjiao. Dalam pemberontakan Muslim Tungan tahun 1895, kelompok Ikhwani menyokong pemberontak yang melawan dinasti Qing. Tetapi, kelompok pemberontakan Muslim Tungan ini dipatahkan oleh kelompok Muslim yang setia kepada dinasti Qing.       

Fikrah dan Hubungan dengan Negara

Penindasan semasa Dinasti Qing

Jeneral pergerakan Tasauf Khafiyah, Ma Anliang, terutamanya sangat anti dengan pemimpin Ikhwani iaitu imam Ma Wanfu. Ketika seorang jeneral perang bangsa Han menangkap imam Ma Wanfu, jeneral Ma Anliang membuat permintaan supaya imam Ma dihantar ke Gansu untuk dihukum olehnya. Ketika berlaku perpecahan dinasti Qing, puak Sunnah Qadimu dan pengikut gerakan Tasauf Khafiyah menyertai kempen untuk menangkap ahli gerakan Ikhwani dan menghapuskan ajaran orang asing atau ajaran Wahabi. Pemimpin gerakan Tasauf China menyerang imam Ma dan kelompok Sunnah Qadimu memohon supaya gabenor dinasti Qing di Lanzhou menghukum imam Ma. 

Kerjasama dengan Kuomintang di Republik China

Kemudian, bawah kepimpinan imam Hu Songshan, gerakan Ikhwani berubah daripada gerakan anti-kecinaan dan gerakan persaudaraan Islam yang ekstrim menjadi pergerakan nasionalis Cina yang moden. Mereka kemudian disokong oleh parti nasional Kuomintang serta menggalakkan pendidikan sekular dan semangat kebangsaan Cina.

Pergerakan Ikhwani moden juga disokong oleh jeneral-jeneral Muslim Ma yang menjadi ahli parti Kuomintang cawangan Tanah Besar China. Mereka menggalakkan semangat kebangsaan Cina serta meminta orang ramai tak mengira agama menghormati Tiga Prinsip Asas Warganegara. Kini, gerakan ini lebih diminati berbanding gerakan-gerakan Tasauf lama seperti gerakan Tasauf Jahriyyah dan gerakan Tasauf Khafiyah. Orang Muslim Cina yang mengikut gerakan Wahabi-Salafi secara melampau tidak disokong oleh gerakan Ikhwani lagi sebaliknya dihapuskan. Ketika zaman parti Kuomintang memerintah di Tanah Besar China, kelompok Wahabi-Salafi seperti Ma Debao dan Ma Zhenqing yang cuba menyebarkan ajaran ulama-ulama mazhab Hanbali sebagai satu-satunya bentuk ajaran Islam yang dipelopori oleh gerakan Wahabi-Salafi dicap sebagai bidaah. Ma Debao menubuhkan pergerakan Salafiyah di Lanzhou dan di Linxia, dan gerakan ini dianggap sebagai gerakan asing oleh kebanyakan pergerakan dakwah Islam lain di China.   

Kelompok Salafiyah ini mempunyai imej yang buruk disebabkan sikap radikal mereka terhadap umat Islam bermazhab Sunnah Hanafi dan pergerakan Ikhwani. Umat Islam keturunan Hui seringkali mengelakkan pergerakan Wahabi-Salafiyah, dan kelompok ini seringkali bergaduh dengan orang lain. Saya dengar cerita dari rakan negara China, disebabkan hal-hal sunnah rantingan yang berbeza pun mereka berperang sehingga kereta kebal tentera terpaksa masuk kerana mengelakkan pertumpahan darah.

Jeneral Ma Bu Fang yang merupakan seorang Muslim gerakan Tasauf turut menyokong gerakan Ikhwan yang dipimpin oleh imam Hu Songshan. Disebabkan hal ini, pengikut aliran Salafi terpaksalah bersembunyi. Mereka tidak dibenarkan berpindah ke kawasan lain atau bersalat di masjid-masjid. Aliran mereka dianggap sebagai aliran yang bercanggah dengan Ahl Sunnah wal Jama'ah mazhab Hanafi serta orang Cina yang mengikutnya dianggap sebagai pengkhianat yang mengikut ajaran orang asing dan bukannya ulama tempatan. Hanya selepas parti Komunis China merampas Tanah Besar China sahaja, maka kelompok pengikut gerakan dan aliran Salafi dibenarkan keluar dan beribadat secara terbuka.

Pandangan Peribadi

Urm, saya tak pasti rakan-rakan saya yang berbangsa Hui dari Gansu dan Xinjiang dulu itu dari gerakan Ikhwani atau tidak. Tapi mereka panggil saya 兄弟 hiongdi atau saudara dan ingat saya bermazhab fekah Hanafi juga, haha. Saya tak bermasalah dengan ziarah kuburan orang alim. Saya biasa saja berziarah ke kuburan orang alim dan nenek moyang. Setahu saya, saya tak pernah sujud pun di kuburan orang alim atau membaca doa-doa meminta mereka bantu saya. Saya percaya Allah Ta'ala sahaja yang membantu hamba-hamba serta membaca doa-doa dari Quran, beriman dengan hadis Qudsi dan mengikut sunnah dari hadis nabawi sama macam orang lain. Saya bermasalah sedikit dengan gerakan Islam dari Bangladesh dan Pakistan. 

Saya tahu filem Hindustan memang berpengaruh dalam masyarakat Melayu di Malaysia dan kawasan Nusantara (Indonesia) serta kebanyakan mereka berhidung mancung atau cerah kulit mereka. Bapa saya pun keturunan Arab-Gujerat dari sebelah bapanya dan beliau meminati filem Hindustan. Saya tahu sejarah Hindu-Buddha negara-negara orang Melayu dan saya belajar bahasa Melayu STPM yang turut mencakupi bahasa Melayu berpengaruh bahasa Sanskrit.

Akan tetapi jika berdakwah kepada umat Islam yang berbudaya bahasa berbeza tak patutlah kita memaksa orang menurut kebudayaan kita dan menganggap mereka tak ada fikrah sendiri. Tidak salah nak mengikut mazhab mana-mana pun namun kunci kesatuan umat Islam adalah menghormati pendapat orang lain selain berpegang teguh kepada Quran dan Sunnah tanpa memaksa orang menjadi pengikut kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...