Wednesday, 30 April 2014

Jenis Tao


Kalau selalu menonton filem-filem Cina lakonan mendiang pakcik 林正英 Lam Ch'ing Yeng (Lin Zheng Ying), pasti anda dapat lihat unsur-unsur Taoisme yang kuat. Saya membesar dengan filem-filem Hong Kong serta Taiwan lah. Tak pernah pun menonton filem Tanah Besar China. 

Saya dapati, saya pula lebih mengamalkan budi bahasa Confucianisme berbanding dengan orang Tanah Besar bila bergaul dengan mereka selain saya pun terbiasa dengan ajaran Buddha Mahayana tradisi Cina serta Tibet kerana zaman remaja saya pun sering berkunjung ke tokong-tokong Cina pada hari perayaan atau ketika ke tempat baru. Sekali-sekala pun mendengar ceramah agama dari bhiksu-bhiksu serta membaca risalah-risalah agama Buddha. Inilah kehidupan lampau saya sebagai remaja peranakan Arab-Punjab (saya menurut keturunan bapa). 

Mungkin pertalian nenek moyang dengan wilayah Punjab dan Sindh (kini di bahagian Pakistan) menyebabkan saya pun mencondong ke ajaran Buddha semasa kecil itu mengalami kesedihan dipulau saudara mara yang berketurunan Melayu serta tidak pula berkawan-kawan dengan rakan sedarjah akibat sering berpindah-randah. Sebelah ibu saya mempunyai cawangan keluarga keturunan Melayu dan juga Cina yang diislamkan. Yang belum Muslim dalam kalangan keluarga-keluarga Cina itu turut menjadi keluarga. Di Kuala Lumpur pula, jiran-jiran sebelah semua pun berbangsa Cina. Maka benda yang mereka dengar, tonton, baca termasuk juga budaya pun diserap oleh saya yang masih kanak-kanak.

Jenis Tao

Terdapat perdebatan juga mengenai ajaran Tao tentang penggolongannya. Tao ini umumnya terbahagi dua iaitu:
  • 道家 Tao Jia, falsafah keluarga berdasarkan kepada 道德經 Tao Te Ch'ing dan kitab 莊子 Zhuang Zi. Kitab-kitab ini dihubungkan menerusi istilah Tao Jia semasa dinasti Han. Tak dapat juga dipastikan sama ada Zhuang Zi biasa dengan kitab Tao Te Ch'ing tetapi beliau sekurang-kurangnya mengakui dirinya itu seorang pengikut Tao. Penggolongan ini belum wujud lagi ketika beliau hidup atau selepas meninggal dunia.
  • Tao Jiao, ajaran Tao. Iaitu jenis pergerakan agama teratur yang turut berkongsi konsep dan istilah yang terbit dalam Tao Jiao. Yang belajar Tao Jia itu dari cabang yang digelar aliran 天師 Tien Shi Tao.
Perbezaan ini ditolak mentah-mentah oleh cendekiawan Orientalis Barat dan orang Jepun. Mereka mencabarnya dengan kesukaran penafsiran (hermeneutik) dalam menggolongkan beratus-ratus aliran Tao, mazhab dan pergerakannya. Taoisme ini bukan dipelajari sebagai asal-usul agama Cina, atau sebagai sejenis keragaman agama rakyat Cina. Walaupun konsep-konsep setengahnya sama, tetapi banyak juga agama rakyat Cina itu di luar daripada ajaran Tao dan tidak kena mengena pun dengan asas-asas Tao.

Pengkaji ilmu kecinaan Isabelle Robinet dan Livia Kohn bersetuju bahawa "Taoisme itu tak pernah menjadi bentuk agama seragam, dan sentiasa mengandungi gabungan ajaran ajaran berdasarkan kepada kepelbagaian 'wahyu' asal".

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...