Monday, 10 February 2014

Umar Bai Zongxi bhg. 1


Tokoh dalam masukan ini tidaklah begitu kuat beragama sangat pun. Beliau lebih cenderung kepada ketenteraan dan juga kepada politik. Saya kurang berminat dengan politik tetapi saya merupakan salah seorang pelajar sains politik dan kemasyarakatan pula. Tokoh ini adalah ahli parti Nasionalis Cina, parti Guomindang. Bukan dari parti Komunis. Parti Komunis dan parti Nasionalis Cina sebenarnya saling bercakaran. Beliau beragama Islam. Saudara-saudari boleh melihat bahawa orang Islam China turut terlibat dalam penjajahan Jepun di sana dengan ramai juga diseksa dan dibunuh semasa peristiwa pembunuhan Nanjing. Kota Nanjing sahaja dipenuhi oleh orang Islam sebelum populasi umat Islam di sana habis mati dibunuh beramai-ramai.    

Bai Zongxi 白崇禧 merupakan seorang panglima dalam Tentera Kebangkitan Kebangsaan dalam Republik China (ROC). Beliau juga adalah salah seorang pemimpin Muslim di China yang sangat terkenal. ROC kini diwakili oleh Taiwan sedangkan Tanah Besar China kini dikenali sebagai Republik Rakyat China (PRC). Pasport kedua-dua negara ini berbeza walaupun negara China menuntut Taiwan sebagai wilayahnya.

Biografi

En. Bai merupakan seorang etnik Hui dan beragama Islam. Nama Arab beliau adalah Umar. Beliau merupakan sekutu rapat dengan Lee Zongren yang menguasai wilayah Guangxi ketika zaman panglima perang rantau sebelum wujudnya Republik Rakyat China.

Beliau dan En. Lee menyokong persekutuan anti-Chiang Kai Shek dalam Peperangan Lembangan Tengah sekitar tahun 1930. Kemudiannya, beliau menyokong Chiang Kai Shek pula semasa perang China-Jepun ke-II dan semasa Perang Saudara China. Dari 1946 sampai 1948, beliau menjadi Menteri Pertahanan bagi Republik China. Selepas kalah kepada Komunis pada 1949, En. Bai dan keluarga beliau berpindah ke Taiwan. Beliau meninggal dunia dan dikebumikan di Taiwan pada 1966.

Latarbelakang

Beliau dilahirkan di Guilin dalam wilayah Guangxi pada 18 Mac 1883 semasa zaman dinasti Qing. Beliau diberi nama penghormatan, 健生 Jiansheng. Keturunan sebelah bapa beliau adalah orang Parsi yang berdagang di China dikenali sebagai Baidurluden (Badaruddin). Baidurluden cuma menggunakan nama Bai sebagai nama beliau semasa di China. Bai Zongxi merupakan anak kedua daripada tiga orang adik beradik lelaki. Keluarga beliau dikatakan turun dari Sichuan sebelum berpindah ke Guangxi. 

Pendidikan

Apabila berusia 14 tahun, beliau menyertai Sekolah Latihan Kader Tentera Guangxi di Guilin. Sekolah tersebut merupakan sekolah moden yang ditadbir oleh Cai Er dalam usaha untuk mempermoden ketenteraan wilayah Guangxi. Bai dan rakan sekelasnya, Huang Shaohong serta Lee Zongren kemudian menjadi tokoh terkemuka dalam ketenteraan wilayah Guangxi. Suatu ketika, Bai Zongxi keluar dari sekolah tersebut atas permintaan keluarga beliau. Beliau belajar di sekolah awam Guangxi dalam bidang Sains Politik dan Perundangan.

Semasa kacau-bilau Kebangkitan Xinhai yang terjadi pada 1911, Bai menyertai perserikatan Pelajar Berani Mati. Huang Shaoxing merupakan komander skuad tersebut. Selepas memasuki senarai Perserikatan Nanjing, beliau dipindahkan masuk ke Sekolah Perserikatan dan Persediaan Ketenteraan Kedua di Wuchang. Beliau tamat sekolah pada 1914. Kemudian, beliau melalui latihan pra-kadet selama enam bulan sebelum masuk ke kelas ketiga Akademi Ketenteraan Baoding pada Jun 1915. Beliau merupakan pegawai percubaan divisyen Guangxi yang pertama selepas kembali ke Guangxi.


Zaman Panglima Perang

Bai bangkit bersinar semasa zaman panglima perang. Beliau menjadi sekutu kepada Huang Shaohong yang merupakan timbalan komander dalam Batalion Contoh dalam Divisyen Kelas Pertama Guangxi. Turut bersekutu adalah Lee Zongren yang menyokong pemimpin Guomindang, En. Sun Yat Sen. Persekutuan ini dikenali sebagai Kelompok Guangxi Baru. Ia berterusan melawan Lu Rongting yang merupakan panglima perang wilayah pada 1942 serta membawa wilayah Guangxi masuk dalam pemerintahan Republik China. Bai dan Lee mewakili generasi pemimpin wilayah Guangxi yang baru. 

Semasa Ekspedisi Utara (1926-1928), Bai merupakan seorang Ketua Kakitangan Tentera Kebangkitan Kebangsaan dan berjasa dalam banyak peperangan melawan panglima perang dari Utara. Serangan beliau sangat laju dan mengejutkan musuh serta mampu mengalahkan tentera yang lebih ramai bilangannya. Beliau turut mengetuai Tentera Jalan Timur dan menakluki Hangzhou dan Shanghai pada 1927. Sebagai komander sempadan di Shanghai, Bai turut terlibat dalam menghapuskan unsur-unsur Komunis dalam Tentera Kebangkitan Kebangsaan pada 4 April 1927 dan dalam Pertubuhan Buruh Shanghai.

Bai turut memberi arahan kepada unit-unit terkedepan yang memasuki kota Beijing dan berjasa sebagai seorang komander senior di lapangan perang dalam menyempurnakan Ekspedisi Utara. Dalam kebanyakan peperangan dari Ekspedisi Utara, beliau diberi gelaran Xiao Zhuge, yang bererti Zhuge Liang Kecil. Zhuge Liang merupakan watak dalam ceritera klasik China, San Guo. Beliau turut terlibat dalam pembantaian beramai-ramai di Shanghai pada 1927 yang mana tentera parti Guomindang menyembelih beramai-ramai ahli parti Komunis. Namun, beliau membenarkan pemimpin Komunis ketika itu, Zhou Enlai untuk melepaskan diri selepas dia ditahan. Laporan berita Barat menyebut Bai dengan nama timangan, "Pencantas Kepala Komunis". 

Pada 1928, semasa Ekspedisi Utara, beliau mengetuai pasukan Guomindang menghapuskan dan mengalahkan kelompok Fengtian yang diketuai oleh panglima Zhang Zongchang. Beliau berjaya menakluki 20,000 orang tentera panglima Zhang dan hampir-hampir menahan panglima Zhang namun panglima Zhang berjaya melepaskan diri ke Manchuria.

Secara peribadi pula, panglima Bai memantau 2000 orang tentera yang beragama Islam semasa singgah sebentar di Beijing pada 1928 sebaik sahaja selesai Ekspedisi Utara. Beliau dilaporkan oleh majalah TIME sebagai seorang yang ganas, sombong dan tangkas. Di Beijing, beliau mengumumkan bahawa tentera Guomindang akan menakluki Manchuria dan musuh-musuh Guomindang di sana. Musuh-musuh nanti akan berselerak seperti daun luruh sebelum ditiup ditiup angin! Pada Disember 1928, panglima Bai jatuh muflis dan tiada duit. Beliau merancang untuk mengetuai 60,000 orang askar dari Timur China masuk ke wilayah Xinjiang (Turkistan) dan membina jalan kereta api sebagai penangkis serangan Russia di sana. Perancangan beliau ini dilihat oleh orang ramai sebagai tindakan menentang Feng Yuxiang.

Pada penghujung Ekspedisi Utara, Chiang Kai Shek mula berang dan mahu menghapuskan askar wilayah Guangxi. Pada 1929, panglima Bai terpaksa lari ke Vietnam bagi mengelakkan ditangkap. Dari 1930 sampai 1936, panglima Bai sangat penting sekali dalam pembinaan semula wilayah Guangxi. Wilayah itu menjadi wilayah contoh dengan pentadbiran yang berdaya maju. Guangxi membekalkan lebih daripada 900,000 orang askar dalam peperangan melawan penaklukan Jepun.

Semasa Perang Saudara, panglima Bai berperang dengan Komunis. Dalam pada itu, panglima Bai membenarkan Komunis melalui wilayah Guangxi. Beliau dikenali sebagai seorang pentadbir yang cekap dan berkebolehan. 

Perang China-Jepun

Keganasan meletus pada 7 Julai 1937 antara China dan Jepun. Bermula dengan insiden Jambatan Marco Polo di luar Beijing. Pada 4 Ogos 1937, panglima Bai menyertai semula kerajaan pusat atas jemputan Chiang Kai Shek. Semasa perang China-Jepun (1937-1945), beliau menjadi Timbalan Ketua kepada Kakitangan Umum yang bertanggungjawab bagi operasi dan latihan. Beliau menjadi perancang strategi utama dalam usaha meyakinkan Chiang bagi menggunapakai strategi "Perang Penuh". Strategi itu menukarkan ruangan dengan masa, memakai taktik gerila di belakang garisan musuh dan mengganggu jaringan bekalan musuh pada setiap peluang. 

Apabila askar Jepun yang lebih terlatih dan lebih lengkap persenjataan mereka masuk ke China, tentera China menjalankan rancangan bumi hangus di setiap jalan laluan tentera Jepun bagi menghalang mereka mendapat bekalan penduduk tempatan. Penglibatan orang Islam di China dalam penentangan terhadap askar Jepun sangatlah banyak sekali. Umar Bai turut terlibat dalam banyak rancangan termasuklah yang membawa kejayaan terbesar pertamanya dalam Peperangan Tai'erzhuang di wilayah Shandong pada musim bunga 1938 apabila beliau bekerjasama dengan panglima Lee Zonren mengalahkan musuh tertinggi. China berjaya memintas dan melambatkan kemasukan askar Jepun beberapa lamanya. Kemudian, Umar Bai dilantik menjadi Komender di Pejabat Majlis Tentera di Guilin, dengan tanggungjawab memantau turus ke-3, ke-4, ke-7 dan ke-9 di Zon Perang. Dengan kemampuan yang diterimanya itu, beliau berjaya mempertahan kota Changsha, ibu negeri bagi wilayah Hunan. Antara 1939 dan 1942, askar Jepun menyerang kota Changsa tiga kali dan setiap kali serangan itu mereka berjaya dihalau keluar. Umar Bai turut memberi arahan dalam Perang Guangxi Selatan dan Perang Laluan Kunlun bagi merampas semula Selatan Guangxi.

Askar dipimpin oleh Umar Bai di Guangxi dipuji dan digelarkan sebagai "gila" oleh tentera elit China semasa peperangan menentang penjajahan kuasa Jepun. Beliau dilihat sebagai seorang panglima perang yang berkemampuan dan mampu membawa negara China masuk dalam pertahanan dari serangan luar andai kata Chiang Kai Shek dibunuh. Kebanyakan penduduk China membuat andaian bahawa Chiang Kai Shek pastinya sesuai menjadi pemimpin China namun mereka pun berpandangan bahawa Umar Bai turut berkemungkinan mewarisi kedudukan pemimpin China. Disebabkan Umar Bai tidak mahu andaian tersebut menyebabkan perpecahan dalam kalangan pemimpin kebangsaan China, maka beliau cuma berada dalam lingkungan ketenteraan sahaja sebagai membuktikan kesetiaan beliau kepada pemimpin China ketika itu.

Usaha menghalau orang asing yang kejam diisytiharkan sebagai kewajipan dan juga jihad oleh orang Islam China dan mereka mesti menentang pencerobohan askar penjajah Jepun pada 1937 semasa Perang China-Jepun ke-II! Umar Bai bertindak memberi perlindungan kepada penerbitan Muslim, Penerbitan Yuehua di Guilin yang mencetak petikan terjemahan kitab suci al-Quran dan hadis bagi menyokong kepimpinan Chiang Kai Shek sebagai presiden China. Umar Bai menggalakkan perpaduan orang Cina sekelian dan menggalakkan supaya orang Hui bersama-sama orang Han (Cina) semasa perang melawan Jepun. Semasa peperangan, Umar Bai berziarah di seluruh wilayah Barat Laut China yang dikuasai oleh Kelompok Ma (Muhammad). Beliau turut menziarahi panglima wilayah China lain yang beragama Islam dalam usaha menumpaskan pengaruh Jepun ketika itu.

Perang Saudara China

Berikutan kekalahan Jepun pada 1945, Perang Saudara Cina bermula semula dengan pertumpahan darah besar-besaran. Pada musim bunga 1946, Komunis China sangat giat sekali di Manchuria. Sebahagian daripada Tentera Pembebasan Rakyat dengan 10,000 orang askar bawah panglima perang parti Komunis, panglima Lin Biao menakluki persimpangan jalan kereta api utama di Siping. Tentera Guomindang bawah pemantauan presiden Chiang tak mampu menghalau Komunis walaupun selepas beberapa percubaa. Mereka terpaksa menghantar Umar Bai bagi memantau operasi ketenteraan itu.

Selepas bantuan tiba, tentera Nasionalis Cina berjaya mengalahkan tentera Komunis selepas dua hari peperangan yang berturutan. Kemenangan ini adalah yang pertama sekali buat parti Guomindang pada 1946-1949. Ia merupakan kemenangan pertama sebelum Tanah Besar China jatuh ke tangan Cina Komunis. Pada 1946, Umar Bai dilantik menjadi Menteri Pertahanan Nasional. Namun, kedudukan tersebut merupakan kedudukan yang tiada sebarang kuasa perundangan kerana presiden Chiang mula memintas Umar Bai dalam pembuatan keputusan berhubung perang saudara Cina. Presiden Chiang akan menghalang taklimat harian di kediamannya tanpa menjemputnya dan mula mengarahkan askar garisan pertama supaya masuk ke tahap sayap, memintas deretan perintah ketenteraan. Strategi presiden Chiang yang cuba menunjuk pandai ini memburukkan keadaan lagi bagi parti Guomindang. Ia menyebabkan tentera nasionalis yang memegang ibu kota wilayah-wilayah terpaksa lari ke pedalaman masuk menyokong tentera Komunis disebabkan tidak puas hati. Keadaan ini menjatuhkan tentera nasionalis dengan nisbah 4:1 pada permulaan pertelingkahan.  

Semasa Pemberontakan Yili, Umar Bai dipertimbangkan untuk jawatan Gabenor wilayah Xinjiang (Turkistan Timur). Kedudukan itu walau bagaimanapun diberikan kepada Mesud Sabri, seorang pemimpin wilayah yang menyokong Guomindang tetapi berbangsa Turki suku kaum Uyghur. Pada April 1948, Perhimpunan Kebangsaan di China berlangsung di Beijing. Beribu-ribu rombongan dari seluruh China mewakili wilayah-wilayah dan kelompok suku kaum hadir. Umar Bai sebagai Menteri Pertahanan China, memberi taklimat dalam perhimpunan tersebut mengenai keadaan ketenteraan China, namun beliau tidak bercakap sepatah pun mengenai China Utara dan Manchuria dalam laporan beliau. Rombongan dari Manchuria memberi maklumbalas dengan menjerit-jerit meminta supaya kerajaan bertanggungjawab terhadap kerugian dan kematian ramai orang di wilayah Manchuria.

November 1948, Umar Bai memerintahkan tentera di Hankou bertemu panglima lain dalam kalangan mereka antaranya adalah Fu Zuoyi, Chang Cizong dan Chiang Kai Shek di Nanjing berkenaan dengan pertahanan kota Suzhou yang menjadi pintu di lembangan sungai Yangtze. Umar Bai menyatakan kepada Majlis Politik Pusat dari Majlis Politik Guomindang Tengah bahawa perbincangan mereka dengan Komunis hanya menjadikan pihak Komunis China semakin kuat. Gabenor wilayah Hunan, Cheng Qian, dan Bai sampai kepada konsensus bahawa mereka patut menghalang kemajuan Komunis dengan rundingan saja dengan mereka.

Januari 1949, Komunis mula mencapai kejayaan. Hampir semua orang dalam parti Nasionalis China dalam kalangan pihak media, ahli politik dan turus pemerintah tentera mula menuntut keamanan dan melawan presiden Chiang. Umar Bai cuma mengikut arus perdana sahaja dan menolak segala perintah presiden Chiang. Beliau menolak memerangi Komunis dekat Sungai Huai dan menuntut supaya askar-askar kepunyaannya yang dipinjamkan supaya dihantar balik ke Guangxi! Beliaua cuma mahu mempertahankan wilayah Guangxi sahaja dan tidak mahu mempedulikan kerajaan pusat China di Nanjing.

Umar Bai naik menjadi Pemerintah tentera ke-4 di China Tengah utamanya di wilayah Hankou ketika itu. Beliau menuntut kerajaan pusat supaya berunding dengan Komunis sama seperti pemerintah tentera lain. Beliau bertanggungjawab bagi pertahanan wilayah persekutuan China, Nanjing. Beliau kemudian menghantar telegram meminta presiden Chiang supaya meletak jawatan bersama-sama dengan pemimpin ketenteraan dan pemimpin politik parti Nasionalis China yang lain dan mahukan keamanan dengan pihak Komunis China.

Apabila panglima Komunis, Lin Biao meningkatkan serangan ke atas tentera Umar Bai di Hankou, mereka terpaksa berundur dan meninggalkan Jelapang Padi China itu kepada pihak Komunis. Umar Bai berundur ke ibu pejabat di Henyang menerusi jalan kereta api dari Hankou ke Guangdong. Jalan kereta api membolehkan beliau kembali semula ke kampung halamannya di Guilin.

Pada Ogos 1949, di Hengyang, Umar Bai merombak semula askar-askar wilayah itu. Pada bulan Oktober 1949, wilayah Guangdong jatuh ke tangan Komunis. Pihak Komunis hampir mencapai kejayaan menguasai seluruh Tanah Besar China. Umar Bai masih mempunyai seramai 200,000 orang askar elit bersamanya. Mereka berundur kembali ke Guangxi selepas tidak berjaya membantu pihak Nasionalis di wilayah Guangdong.    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...