Adaptasi karangan Prof. Ong Seng Huat
Universiti Malaya, Projek Penang
Suntingan Salma Khoo-Nasution
Bahagian Pertama
Masyarakat Hui merupakan salah satu kelompok minoriti di China. Mereka ini merupakan keturunan orang Arab dan orang Asia Barat. Semasa dinasti Yuan, masyarakat Mongol yang memerintah membahagikan penduduk dalam empayar mereka ke dalam kategori berbeza dan berlainan status.
Mereka dibahagikan kepada kelompok bangsa seperti:
- Meng atau Mongol.
- Hui iaitu keturunan orang Asia Tengah seperti Turki, Parsi dan Asia Barat seperti Arab serta Yahudi.
- Han, orang Cina Utara.
- Nan Man, iaitu orang Cina Selatan atau Orang Asli Selatan mendiami selatan sungai Yangtze.
Dasar perkauman yang diperbuat oleh orang Mongol ini sebenarnya menindas orang Han dan orang Asli Cina Selatan. Keadaan ini menyebabkan terjadinya kebangkitan menentang dinasti Yuan. Orang ramai membalas dendam terhadap orang Mongol dan orang Hui di kebanyakan tempat di empayar kemaharajaan China. Dinasti Ming yang bangkit kemudian cuma membiarkan kejadian ini berlaku.
Sejarah puak Arab Guo di Fujian
Kelompok keluarga Guo dalam kalangan orang Hui di Pulau Pinang dalam karangan ini merupakan keturunan orang Arab yang dikenali dengan nama, I Pen Khu Se Tek Kwan Kong. Saya kurang pasti bagaimana menulis perkataan ini kerana ia berbunyi dialek Fujian. Saya tak pandai bahasa Fujian. Orang Arab ini kemudian memberi nama Cina kepada dirinya sendiri, Guo Deguan. Semasa dinasti Ming sekitar 1376, kelompok Arab di China diketuai oleh seorang lelaki bernama Guo Tinghui berpindah ke kampung Pek Kee di Quanzhou dalam wilayah Hui An di Fujian. Puak Arab ini membawa bersama mereka 30 juzuk al-Quran. Keturunan mereka kemudian membuka sembilan penempatan dengan 13 kampung puak Arab peranakan.
Kampung Pek Kee terletak dekat dengan pelabuhan Quanzhou. Pelabuhan ini dipanggil oleh orang Arab sebagai Pelabuhan Zaitun. Ia menghadap Taiwan yang terletak seberang selat itu. Ia memang terkenal dalam kalangan penduduk China di wilayah Fujian yang keturunan minoriti seperti pedagang Parsi dan Arab. Ia diasaskan pada kurun ke-8 M dan mencapai kegemilangannya semasa dinasti Yuan.
Untuk diterima oleh masyarakat Cina yang majoriti, puak Arab ini memakai nama keluarga yang dicipta oleh nenek moyang mereka. Mereka mendakwa bahawa mereka adalah keturunan seorang panglima perang beragama Islam dari dinasti Tang yang menguasai wilayah Turkistan Timur dan bahagian barat Laluan Sutera. Dalam masa yang sama, panglima itu turut menyebarkan tamadun dinasti Tang dan juga lingkungan kebudayaan Cina sampai masuk ke Asia Tengah. Di selatan Cina, orang Cina memang dipanggil sebagai orang Tang. Berbeza dengan orang Cina utara yang dipanggil orang Han. Dalam bahasa Kantonis pun, orang Tang memang merujuk kepada orang Cina.
Keturunan kelima Guo Tinghui yang membuka kampung Pek Kee mendapati bahawa mereka menghadapi serangan orang Cina yang pelampau. Ia berlaku kerana terdapat sekelompok orang Hui di situ yang menyokong dinsti Ming yang menyekat pemberontakan orang Cina di Fujian. Akibatnya, pemberontak kemudian menyerang kampung-kampung orang Hui di serata wilayah Fujian. Bagi melindungi nyawa dan harta-benda penduduk, orang kampung dari keluarga Guo terpaksa memakai identiti Cina dan menyembunyikan kegiatan keagamaan Islam mereka. Mereka juga menikahi wanita-wanita Cina keturunan demi keturunan selain membenarkan wanita Cina yang dikahwini mereka itu membela babi bagi mengaburi mata orang ramai dan mengelakkan serangan orang bukan Islam.
Dalam kecemasan itu, amir-amir kelompok Arab dari keluarga Guo mengeluarkan fatwa bahawa mereka boleh mengambil daging babi sebagai makanan bagi menyelamatkan nyawa dari ancaman dibunuh. Namun, mereka mesti mati sebagai seorang Muslim dan kembali ke ajaran Islam sepenuhnya dengan panduan sanak-saudara sewaktu nazak. Keluarga yang berkabung dan sanak-saudara semua mesti mengikut amalan "budaya" selepas kematian ahli keluarga sekurang-kurangnya 49 hari dan kadang-kala sampai tiga tahun. Apabila seorang ahli keluarga atau puak meninggal dunia, seorang imam akan pergi ke rumah si mati dan meletakkan kitab suci al-Quran dalam sebungkus kain baru dan diletakkan di meja depan keranda. Imam akan membaca al-Quran sampai khatam. Kemudian, imam akan menasihatkan keluarga si mati supaya jangan mengambil daging babi selama 49 hari.
Puak ini mempunyai catitan lengkap keturunan mereka. Dalam buku keturunan, terdapat juga peringatan bahawa ahli puak adalah orang Hui dan beragama Islam. Selepas selesai zaman kacau-bilau dan pemberontakan ketika keturunan kelapan, barulah mereka kembali mengamalkan semula ajaran Islam seperti orang Islam lain. Membangunkan madrasah dan juga masjid. Namun, setengah daripada mereka sudah terserap masuk dalam kebudayaan Cina sampai terlupa asal-usul mereka. Kehidupan mereka sangatlah berunsurkan Cina kerana dikelilingi oleh orang Cina.
Bahagian Kedua
Sebagai keturunan orang Arab, puak Guo sangat berjaya dalam perdagangan dan juga kelautan. Namun, semasa dinasti Qing, kegiatan kelautan dihentikan oleh kerajaan dan pelaut tidak dibenarkan keluar masuk dari Fujian ke Taiwan atau Pulau Formosa. Keadaan ini diikuti juga oleh ketidakstabilan ekonomi dan politik yang menyebabkan kampung Arab di Pek Kee pun mengalami kejatuhan.
Sejarah Guo sebagai Pendatang Cina di Penang
Keadaan di Pek Kee itu menjadikan penduduk Pek Kee miskin dan papa kedana. Keadaan ini memaksa mereka menjadi pendatang asing di luar negara. Ada yang sampai ke Pulau Pinang pada abad ke-19 semasa zaman British sebagai pedagang. Namun mereka tidak mempunyai modal. Keadaan fizikal mereka pun sudah tak berupa orang Arab lagi. Mereka cumalah anak cucu orang Arab yang berupa seperti orang Cina lain juga.
Setibanya di Pulau Pinang, mereka mendapati bahawa mereka turut berkongsi bahasa, dialek dan kebudayaan yang sama dengan kebanyakan pendatang Cina dari Fujian ketika itu. Yang berbeza cumalah agama mereka. Di Pulau Pinang, mereka meneruskan kehidupan sebagai pedagang, kuli pelabuhan dan juga pengayuh sampan. Mereka juga terlibat dalam perniagaan arang dan membuat kayu arang dari kayu pokok bakau. Mereka kemudian menyewa empat buah rumah dan hidup sesama puak mereka di Jalan Noordin. Sekitar 1950-an, mereka membangunkan satu lagi jeti dekat penghujung Weld Quay (C.Y. Choy Rd.). Ia merupakan jeti terakhir yang dibangunkan oleh puak ini. Mereka terpaksa mendapatkan sokongan masyarakat Cina lain di Pulau Pinang demi kelangsungan hidup.
Penempatan Guo di Pulau Pinang itu kemudian menjadi kesinambungan bagi kampung puak mereka di China sana. Diaspora puak ini ada juga menetap di Taiwan, Singapura dan Malaysia selain di pantai-pantai di negara Asia Tenggara lain. Mereka berhubung rapat dengan kampung mereka di wilayah Fujian sana dan juga dengan sesama puak.
Contoh berikut menggambarkan perhubungan rapat dan jaringan perhubungan sesama mereka. Pada 1946, ketua tertinggi puak Guo di Hui An mengarahkan supaya dana dikutip bagi membangunkan sekolah untuk memperingati tokoh yang bernama Guo Zhihong yang terkorban semasa peperangan anti-Jepun pada 1942. Sepucuk surat dikeluarkan oleh ketua puak Guo di Taiwan yang mendapat arahan dari Hui An kemudiannya bagi meminta masyarakat puak Guo di Pulau Pinang supaya turut sama terlibat dalam mengutip dana. Semua dana dikumpulkan itu dihantar ke Hui An sana bagi membina sekolah.
Puak Guo di Penang menghadapi masalah untuk berkomunikasi dengan orang Islam lain di Pulau Pinang walaupun mereka beragama Islam. Mereka tidak memahami amalan-amalan keagamaan orang Islam di Pulau Pinang. Contohnya, orang Islam di Pulau Pinang mempunyai amalan menziarahi makam wali atau keramat yang asing sekali bagi keturunan Arab puak Guo. Masjid berbumbung seperti bawang juga asing bagi mereka dan mereka tidak merasai bahawa bangunan begitu adalah seperti sebuah masjid. Selain daripada itu, mereka berasa terasing dari masyarakat Islam lain. Di samping itu pula, mereka merasa lebih rapat dengan orang Cina lain dan juga bergantung kepada sokongan mereka untuk terus hidup. Kesannya, puak Guo yang berhijrah di Penang itu kembali ke fatwa amir-amir keturunan kelima mereka dan menjadi seperti orang Cina lain.
Pada 1975, puak Guo di Penang menerbitkan satu peringatan yang diarahkan untuk dibingkaikan dan digantung pada dinding rumah setiap ahli puak. Ia memberi maklumat mengenai nama nenek-moyang keturunan mereka sampai 40 keturunan. Keturunan Arab berbahasa Cina itu boleh mengecam nama nenek moyang sampai 22 keturunan.
Peringatan tersebut antaranya mencatatkan bahawa, "Sejak zaman berzaman mereka dalam empayar kemaharajaan China, mereka tetaplah orang Islam. Mereka taat patuh beragama dan bersolat serta tak pernah berubah amalan keagamaan selama berketurunan lamanya... Selepas China menjadi sebuah republik, ramailah keturunan puak yang datang ke Asia Tenggara berpecah sekitar Malaysia dan Singapura. Namun, perbezaan dalam perhubungan masyarakat serta persekitaran menyebabkan mereka sedikit demi sedikit menyimpang dari ajaran Islam dan agama nenek moyang. Namun, dalam amalan mengingati nenek moyang Islam mereka, mereka akan tetap menjalankan pengamalan berkabung dengan makanan halal tanpa daging babi". Sebahagian daripada cebisan peringatan tersebut sebenarnya ada memuatkan fatwa amir keturunan kelima mereka semasa zaman huru-hara ketika dinasti Ming. Ia menunjukkan bahawa mereka masih ingat lagi asal-usul mereka berdasarkan catitan keluarga mereka.
No comments:
Post a Comment