Gambar ihsan Tours Penang
Prakata
Saya rasa campur-aduk adalah sesuatu yang memeningkan. Lebih baik saya masukkan maklumat mengenai Muslim China di bahagian berbahasa Melayu kerana ia lebih penting untuk masyarakat di negara saya. Saya membuat perkongsian kerana mendapati ada setengah orang Melayu yang mengeluarkan kenyataan yang mengarut apabila menyentuh mengenai orang Cina seperti orang Cina yang tak menyokong Pertubuhan Cina Malaysia (MCA) sebagai Komunis dan sebagainya. Kebanyakan orang Cina di Penang sebenarnya adalah bekas penyokong Nasionalis Cina atau Guomindang. Guomindang bolehlah dipersama dengan parti politik dan pertubuhan nasionalis Melayu Bersatu di Semenanjung Malaysia iaitu UMNO. Mereka bukan Komunis, menganuti pelbagai agama seperti Islam, Kristian serta lain-lain dan kebanyakan nasionalis Cina dihalau ke Taiwan yang membentuk Republik Cina Taiwan.
Saya berkawan dengan beberapa orang rakan Cina dari Pulau Pinang. Saya mempunyai juga saudara keturunan Cina yang tak beragama Islam dengan nama keluarga Lee di Pulau Pinang dan yang Muslim pun ada dengan nama keluarga Chen (Tan) di Kangar, Perlis. Mereka menjadi saudara-mara saya menerusi perkahwinan. Walaupun bahasa Cina saya berbunyi agak pelik seperti orang bercakap tiada gigi namun rakan saya dari Pulau Pinang sering menggalakkan saya berbahasa Cina sahaja kerana lebih memudahkan perhubungan kita. Sebenarnya mereka berasa terhina kerana saya bercakap bahasa Melayu dengan mereka. Mungkin mereka ingat bahawa saya menganggap bahasa Cina (Mandarin) mereka tidak begitu mahir, haha.
Sebenarnya saya menghormati orang yang berpendidikan Cina walaupun saya baru saja mendapati bahawa saya tak suka suasana di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina kerana melatih pelajar menjadi seperti robot dari segi akademik. Bapa saudara dan ibu saudara sebela bapa saya pun ramai yang berpendidikan Cina sedangkan mereka berketurunan Arab. Abang tiri kepada bapa saya (tidak sama ibu tapi sama bapa) juga boleh berbahasa Cina loghat Fujian (Hokkien). Saya tidak reti menulis bahasa Cina bertulisan ringkas kerana saya biasa memakai tulisan ideogram lengkap. Saya benci menaip tulisan Cina menggunakan komputer kerana sangat sulit sekali dan saya seorang pemalas. Suatu ketika dahulu, saya pernah juga menyatakan rasa tidak puas hati kepada ibu bapa saya kerana menyekolahkan saya di aliran kebangsaan kerana saya tak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan kurang bergaul dengan kanak-kanak berketurunan Melayu. Keadaan itu menjadikan saya kurang menyerlah dalam akademik. Ibu saya sebenarnya takut yang saya akan diserap dalam masyarakat bukan Islam kerana ia memang pernah terjadi walaupun saya dilatih dalam aliran agama. Pada masa kini, semua itu sudah tak penting lagi buat saya, haha.
Saya membuat masukan ini dalam bahasa Melayu cuma untuk menyatakan bahawa terdapat juga masyarakat Muslim yang berbahasa Cina sebenarnya masih wujud di Malaysia terutamanya di sebelah Utara, Pantai Timur dan juga di bahagian Borneo kita. Setengah mereka terserap dalam masyarakat Melayu sementara ada juga yang terserap dalam masyarakat keturunan Cina yang bercakap dalam pelbagai dialek bahasa Cina di Malaysia. Mereka kebanyakannya keturunan peranakan Arab-Cina dari Selatan China. Ada peranakan Arab-India Utara, peranakan Arab-Parsi, peranakan Arab-Turki, peranakan Arab-Tamil, peranakan Arab-Melayu, peranakan Arab-Sepanyol dan peranakan Arab-Cina. Bahasa mereka menjadi pelbagai disebabkan oleh bahasa ibunda mereka kerana ibu mereka bukan bangsa Arab. Kebanyakan mereka rasa selesa dikenalpasti dengan bangsa ibu mereka kerana mereka bercakap dan menurut budaya ibu mereka.
Peranakan Muslim dari China yang Hilang
Himanshu Bhatt, The Sun Daily - 27 Oktober 2011... 8:24 am
Semua orang pun tahu bahawa terdapat banyak jenis komuniti Cina yang bertempat tinggal di negara Malaysia. Namun, pernahkah kita mendengar mengenai kebudayaan Hui, atau kebudayaan Muslim dari negara China yang pengamalnya itu adalah merupakan pendatang Cina yang terawal berhijrah ke Asia Tenggara?
Sehingga beberapa tahun lalu, tinggalan masyarakat Muslim China ini masih terdapat lagi di jeti Jelutong, Penang. Ia disebut sebagai Koay Jetty, yang merupakan satu-satunya penempatan Muslim berbahasa dan berbudaya Cina yang masih tinggal di Semenanjung Malaysia.
Hari ini, di tapak jeti tersebut yang diruntuhkan dan penduduknya dipindahkan, dibangunkan pula blok-blok rumah pangsa depan laluan lebuhraya yang dibangunkan di situ. Bagi mereka yang masih mengingati jeti kayu tersebut, pastilah kewujudan bangunan rumah pangsa tersebut menimbulkan rasa pelik dan rasa pemisahan dari kenangan lama.
Jeti Koay mendapat nama dari kelompok keturunan orang Islam dari China yang terbesar sekali, iaitu keluarga 郭 Guo. Dalam dialek Cina Fujian disebut sebagai Koay. Kebanyakan orang Cina Muslim tersebut merupakan pedagang atau kuli-kuli yang datang ke Pulau Pinang ketika kurun ke-19 M ketika Semenanjung Tanah Melayu berada dalam peralihan pentadbiran British ke kemerdekaan. Masyarakat Muslim tersebut berkongsi bahasa dan juga ciri-ciri kemasyarakatan dengan pendatang Cina lain dari wilayah Fujian. Yang membezakan mereka cumalah agama. Mereka beragama Islam.
Saya bertemu dengan beberapa penduduk Hui (Muslim) sebelum jeti tersebut diratakan ke tanah. Dalam kalangan mereka itu, ada seorang bekas orang tengah yang berniaga arang berusia 70 tahun. Nama beliau Koay Ah Bee. Beliau masih lagi mengamalkan adat-istiadat kematian yang hanya diamalkan orang Cina etnik Hui di Selatan China walaupun beliau mengakui bahawa ramai anak muda mereka kini tak memahami pun mengapa semua upacara tersebut dijalankan. Upacara berkabung mereka antaranya seperti pengamalan pemakanan daging halal.
Menurut kajian pengkaji sejarah Penang, Dr. Ong Seng Huat, orang Hui contohnya seperti Cheng Ho berperanan penting dalam membantu pemeliharaan kesultanan Melaka yang mengamalkan agama Islam dalam kurun ke-15 M. Pengajian Ong menunjukkan bahawa laksamana Cheng Ho membawa bersama orang-orang Islam penting lain ke kesultanan Melaka. Antaranya termasuklah guru-guru agama Islam dari Siam dan China, seorang imam bernama Hassan dari sebuah masjid di kota purba Xian dan seorang India Muslim bernama Shaban yang pernah tinggal di China.
Yang dapat diamati juga, salah seorang daripada penyimpan cerpu catitan Cheng Ho, Koay Chong Li, juga berasal dari rantau yang sama dengan pendatang Cina yang berketurunan Koay di jeti Koay, Pulau Pinang pada kurun ke-19 M. Orang Hui membina penempatan di merata-rata rantau Asia Tenggara. Sehingga Perang Dunia Kedua, terdapat penempatan besar orang Hui di Singapura, dan beberapa lagi di Pulau Pangkor dan di Sitiawan.
Dapat difahami juga, kebanyakan adat dan istiadat orang Hui di Malaysia sudahlah hilang. Mereka mula melupakan jati diri keturunan mereka dan setengahnya pula diserap masuk dalam masyarakat Melayu. Yang kekal dengan bahasa Cina dan budaya kecinaan pula diserap masuk dalam masyarakat Cina yang tidak beragama Islam.
"Ramai orang Cina Malaysia", kata Ong, "tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya berketurunan orang Islam China atau berketurunan etnik Hui". Namun, penduduk di Jeti Koay berbeza pula, mereka boleh mengesan keturunan mereka sampai ke 17 dan 22 keturunan.
Kira-kira 40 tahun lalu, Ibrahim Ma Tian Ying, seorang pemimpin Cina Muslim terkenal di Malaysia, melobi dengan bersusah-payahnya kepada perdana menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman supaya kerajaan menghentikan pemusnahan jeti tersebut yang nampaknya tak sesuai pula berada di kawasan perbandaran di Pulau Pinang. Permintaan beliau itu didengari oleh perdana menteri dan kerajaan pun berhenti daripada memusnahkan jeti tersebut untuk beberapa lamanya.
Pihak berkuasa baru-baru ini sudah tidak bersimpati lagi dan tidak mahu mengambil tahu lagi mengenai permintaan supaya warisan masyarakat tersebut dilindungi. Keadaan ini menyebabkan penempatan tersebut dimusnahkan bagi membolehkan projek pembangunan ketumpatan tinggi dijalankan.
Pemusnahan jeti ini memberi isyarat yang menyedihkan apabila sebahagian sejarah penting dalam sejarah Malaysia pun turut dihapuskan bersama dengan runtuhan jeti tersebut. Masyarakat etnik Hui masih lagi diingati sebagai sebahagian daripada cawangan kebudayaan masyarakat Cina besar yang dalam perjalanan sejarahnya turut menyumbang kepada kepelbagaian sejarah negara Malaysia sampai ke hari ini.
Himanshu merupakan ketua biro the Sun di Pulau Penang. Sebarang komen sila alamatkan ke letters@thesundaily.com.
No comments:
Post a Comment