Saturday 18 May 2013

Pertubuhan Ikhwani China


Pertubuhan Ikhwani ini selalunya disebut 伊赫瓦尼 Yihewani atau Ikhwan sahaja. Yang ini bukan Ikhwan al-Muslimin yang merupakan pertubuhan persaudaran Muslim Mesir yang diasaskan oleh saudara Hassan al-Banna. Ini adalah pertubuhan persaudaraan orang Cina Muslim yang merupakan aliran gerakan Islam baru. Kalau orang Bangladesh dan orang Pakistan ada gerakan Jemaah Tabligh. Orang China ada juga pergerakan Ikhwani dan pergerakan-pergerakan lain.

Di negara China, pertubuhan ini disertai oleh sebahagian umat Islam bermazhab Hanafi dari tradisi Sunnah asas. Kadangkala disebut juga sebagai aliran gerakan baru. Pusat pergerakan ini adalah di wilayah Qinghai, Ningxia dan Gansu di Linxia manakala ia merebak ke Beijing, Shanghai, Henan, Shandong dan Hebei. Awalan gerakan ini bermula pada penghujung abad ke-19 M, apabila imam Ma Wanfu dari kampung Guoyuan di Hezhou belajar di Mekah. Beliau ini dipengaruhi oleh gerakan Wahabi-Salafi di Arab Saudi. Selepas pulang ke wilayah Gansu, beliau menubuhkan gerakan dengan 10 imam. Gerakan ini menolak aliran pemikiran Tasauf. Ideologi mereka bahawasanya, amalan yang tidak tersebut dalam al-Quran dan Hadis Nabawi mesti dihapuskan. Sama seperti gerakan Wahabi-Salafi, mereka menentang ziarah kubur dan murshid yang mereka anggap sebagai menyembah puja kuburan dan menentang dakwah dijalankan dalam bahasa Cina. Pada 1937, gerakan ini terbelah menjadi dua kumpulan.

Jadi di negara China, ada tiga aliran utama pergerakan Islam iaitu aliran Qadimu, aliran Ikhwani dan aliran Xidaotang. Aliran gerakan Ikhwani dikelaskan sebagai aliran ajaran baru atau xinjiao. Dalam pemberontakan Muslim Tungan tahun 1895, kelompok Ikhwani menyokong pemberontak yang melawan dinasti Qing. Tetapi, kelompok pemberontakan Muslim Tungan ini dipatahkan oleh kelompok Muslim yang setia kepada dinasti Qing.       

Fikrah dan Hubungan dengan Negara

Penindasan semasa Dinasti Qing

Jeneral pergerakan Tasauf Khafiyah, Ma Anliang, terutamanya sangat anti dengan pemimpin Ikhwani iaitu imam Ma Wanfu. Ketika seorang jeneral perang bangsa Han menangkap imam Ma Wanfu, jeneral Ma Anliang membuat permintaan supaya imam Ma dihantar ke Gansu untuk dihukum olehnya. Ketika berlaku perpecahan dinasti Qing, puak Sunnah Qadimu dan pengikut gerakan Tasauf Khafiyah menyertai kempen untuk menangkap ahli gerakan Ikhwani dan menghapuskan ajaran orang asing atau ajaran Wahabi. Pemimpin gerakan Tasauf China menyerang imam Ma dan kelompok Sunnah Qadimu memohon supaya gabenor dinasti Qing di Lanzhou menghukum imam Ma. 

Kerjasama dengan Kuomintang di Republik China

Kemudian, bawah kepimpinan imam Hu Songshan, gerakan Ikhwani berubah daripada gerakan anti-kecinaan dan gerakan persaudaraan Islam yang ekstrim menjadi pergerakan nasionalis Cina yang moden. Mereka kemudian disokong oleh parti nasional Kuomintang serta menggalakkan pendidikan sekular dan semangat kebangsaan Cina.

Pergerakan Ikhwani moden juga disokong oleh jeneral-jeneral Muslim Ma yang menjadi ahli parti Kuomintang cawangan Tanah Besar China. Mereka menggalakkan semangat kebangsaan Cina serta meminta orang ramai tak mengira agama menghormati Tiga Prinsip Asas Warganegara. Kini, gerakan ini lebih diminati berbanding gerakan-gerakan Tasauf lama seperti gerakan Tasauf Jahriyyah dan gerakan Tasauf Khafiyah. Orang Muslim Cina yang mengikut gerakan Wahabi-Salafi secara melampau tidak disokong oleh gerakan Ikhwani lagi sebaliknya dihapuskan. Ketika zaman parti Kuomintang memerintah di Tanah Besar China, kelompok Wahabi-Salafi seperti Ma Debao dan Ma Zhenqing yang cuba menyebarkan ajaran ulama-ulama mazhab Hanbali sebagai satu-satunya bentuk ajaran Islam yang dipelopori oleh gerakan Wahabi-Salafi dicap sebagai bidaah. Ma Debao menubuhkan pergerakan Salafiyah di Lanzhou dan di Linxia, dan gerakan ini dianggap sebagai gerakan asing oleh kebanyakan pergerakan dakwah Islam lain di China.   

Kelompok Salafiyah ini mempunyai imej yang buruk disebabkan sikap radikal mereka terhadap umat Islam bermazhab Sunnah Hanafi dan pergerakan Ikhwani. Umat Islam keturunan Hui seringkali mengelakkan pergerakan Wahabi-Salafiyah, dan kelompok ini seringkali bergaduh dengan orang lain. Saya dengar cerita dari rakan negara China, disebabkan hal-hal sunnah rantingan yang berbeza pun mereka berperang sehingga kereta kebal tentera terpaksa masuk kerana mengelakkan pertumpahan darah.

Jeneral Ma Bu Fang yang merupakan seorang Muslim gerakan Tasauf turut menyokong gerakan Ikhwan yang dipimpin oleh imam Hu Songshan. Disebabkan hal ini, pengikut aliran Salafi terpaksalah bersembunyi. Mereka tidak dibenarkan berpindah ke kawasan lain atau bersalat di masjid-masjid. Aliran mereka dianggap sebagai aliran yang bercanggah dengan Ahl Sunnah wal Jama'ah mazhab Hanafi serta orang Cina yang mengikutnya dianggap sebagai pengkhianat yang mengikut ajaran orang asing dan bukannya ulama tempatan. Hanya selepas parti Komunis China merampas Tanah Besar China sahaja, maka kelompok pengikut gerakan dan aliran Salafi dibenarkan keluar dan beribadat secara terbuka.

Pandangan Peribadi

Urm, saya tak pasti rakan-rakan saya yang berbangsa Hui dari Gansu dan Xinjiang dulu itu dari gerakan Ikhwani atau tidak. Tapi mereka panggil saya 兄弟 hiongdi atau saudara dan ingat saya bermazhab fekah Hanafi juga, haha. Saya tak bermasalah dengan ziarah kuburan orang alim. Saya biasa saja berziarah ke kuburan orang alim dan nenek moyang. Setahu saya, saya tak pernah sujud pun di kuburan orang alim atau membaca doa-doa meminta mereka bantu saya. Saya percaya Allah Ta'ala sahaja yang membantu hamba-hamba serta membaca doa-doa dari Quran, beriman dengan hadis Qudsi dan mengikut sunnah dari hadis nabawi sama macam orang lain. Saya bermasalah sedikit dengan gerakan Islam dari Bangladesh dan Pakistan. 

Saya tahu filem Hindustan memang berpengaruh dalam masyarakat Melayu di Malaysia dan kawasan Nusantara (Indonesia) serta kebanyakan mereka berhidung mancung atau cerah kulit mereka. Bapa saya pun keturunan Arab-Gujerat dari sebelah bapanya dan beliau meminati filem Hindustan. Saya tahu sejarah Hindu-Buddha negara-negara orang Melayu dan saya belajar bahasa Melayu STPM yang turut mencakupi bahasa Melayu berpengaruh bahasa Sanskrit.

Akan tetapi jika berdakwah kepada umat Islam yang berbudaya bahasa berbeza tak patutlah kita memaksa orang menurut kebudayaan kita dan menganggap mereka tak ada fikrah sendiri. Tidak salah nak mengikut mazhab mana-mana pun namun kunci kesatuan umat Islam adalah menghormati pendapat orang lain selain berpegang teguh kepada Quran dan Sunnah tanpa memaksa orang menjadi pengikut kita.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...