Ramai orang di Malaysia terutamanya berpendapat bahawa orang Cina kebanyakannya menganut ajaran Buddha. Namun, sebenarnya orang Cina bukan sebenar-benarnya menganut ajaran Buddha sebaliknya mengamalkan fahaman persenyawaan tiga serangkai iaitu Taoisme, Buddhisme, dan Confucianisme.
Suatu ketika dahulu, saya pernah bertanya kepada rakan saya berketurunan Cina dari Banting sekitar tahun 2004. Saya tanya beliau, "Adakah awak penganut ajaran Buddha?" Beliau menjawab, "Ya, keluarga saya penganut ajaran Buddha". Saya bertanya lebih lanjut, "Jadi, awak tahukah ajaran Buddha berasal dari mana?" Jawabnya, "Ya, mestilah. Buddha adalah seorang Cina!". Saya tak dapat bertanya apa-apa lagi selepas mendengarnya. Saya cuma tertawa kecil sahaja kerana saya berasa terkejut, haha. Saya sebenarnya pernah mengikut ajaran Buddha juga selama lima tahun kerana saya menghadapi masalah kekeluargaan dan konflik dalam diri yang berkait dengan penolakan diri saya terhadap masyarakat sekitar saya. Dua nya tahun saya mengikat benang suci di biara aliran Theravada yang diamalkan seperti di negara Thailand. Kemudiannya, saya menjalani amalan upasaka (orang awam) secara rahsia yang terdiri daripada membaca triratna, pancasila, dan lapan jalan mulia seterusnya cuba mengamalkan jalan mulia walaupun keluarga saya bukan penganut ajaran Buddha sebaliknya merupakan penganut agama Islam secara turun-temurun. Ajaran Buddha sangat berkait rapat dengan benua India dan agama kebudayaan Hindu.
Oleh itu, saya meletakan ajaran Taoism sebagai maklumat awalan jika dibandingkan dengan ajaran Buddha kerana ajaran Buddha adalah ajaran yang masuk dari luar benua China. Taoisme merupakan agama orang Cina selain daripada adat-istiadat dalam Confucianisme.
Pengenalan
Untuk pengenalan kita ini, Taoisme sebenarnya adalah tradisi falsafah dan keagamaan orang Cina yang menekankan kewujudan harmoni dengan Tao. 道 Tao ini bermaksud "Jalan" atau 'Prinsip" dan boleh juga ditemui dalam falsafah Cina dan falsafah keagamaan selain daripada ajaran Tao. Dalam ajaran Tao, dijelaskan bahawa terdapat punca yang mengeluarkan tenaga bagi setiap yang wujud. Dijelaskan dalam kitab Tao Te Ch'ing jua bahawa "Tao yang boleh dijelaskan itu maka ia bukanlah Tao yang abadi".
Ajaran Tao mempunyai pandangan semesta yang diterbitkan dari aliran Yin dan Yang. Karya utama bagi agama orang Cina ini dikumpulkan dalam kitab 道德經 Tao Te Ch'ing. Ajaran yang terdapat dalamnya sangat kabur-kabur maknanya dan boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara. Ia dikaitkan dengan tokoh zaman kuno bernama 老子 Lao Zi. Kitab utama ini kemudian dipakai bersama dengan karya 莊子 Zhuang Zi lantas membentuk dasar bagi ajaran Tao. Pada awalnya, ajaran Tao cuma diamalkan secara perseorangan sahaja. Tiada sistem seperti biara atau susunan masyarakat kebiaraan pun.
Bentuk yang bersusunan masyarakat keagamaan pula kemudian berkembang dan mencabang menjadi aliran-aliran yang pelbagai. Aliran penganut Tao umumnya memberi sembah hormat kepada Lao Zi sebagai nenek moyang bagi tuk guru dan juga sebagai makhluk yang hidup abadi. Bersama dengan nenek moyang, terdapat lah juga pelbagai jenis amalan dan upacara seperti menghalau makhluk halus serta menenung nasib, amalan menurun, kesihatan buat umur yang panjang serta seterusnya mencapai tahap menjadi dewata kayangan.
Asas Taoisme
Bentuk tata adab dan juga sembah hormat penganut ajaran Tao pun pelbagai bergantung menurut aliran keagamaannya juga. Namun secara umum, terdapat penekanan asas kepada 無為 Wu Vei atau tindakan yang dijalankan itu menerusi tiada tindakan atau semulajadi. Maksudnya segala perbuatan itu biar spontan sahaja. Konsep ini sebenarnya adalah konsep yang saya amalkan dalam hidup saya, haha. Kemudian, ada Tiga Khazanah yang bahasa Cinanya disebut sebagai 三寶 San Bao iaitu belas kasihan, bersederhana dan merendah hati.
Taoisme mempunyai pengaruh mendalam terhadap kebudayaan Cina dalam beberapa abad lamanya. Upacara akan dijalankan oleh pertapa-pertapa Tao yang dipanggil Taoshi yang mengetahui selok-belok adat dalam agama rakyat Cina. Kadang-kala terdapat garis halus yang menyebabkan upacara adat menjadi kabur apabila terdapat juga persenyawaan dengan ilmu tilik nasib Cina, ajaran Buddha Dhyana, perubatan tradisional Cina, kungfu, jenis-jenis Qigong, Fengshui, dan juga ilmu kimia Cina dengan ajaran Tao. Ajaran Taoisme ini mempengaruhi masyarakat Asia lain seperti orang asli di Selatan China, orang Jepun-Korea, dan juga orang Vietnam.
Apabila sastera Lao Zi dan Zhuang Zi mula berkembang maka kedua-duanya dikumpulkan sekali dan diikat menjadi 道藏 Daozang. Ia diterbitkan pada masa-masa tertentu bagi pihak maharaja China. Beberapa kali nya dalam rentetan sejarah, ajaran Tao diangkat menjadi agama rasmi negara.
Selepas kurun ke-17 M, ajaran Tao mula dianggap sebagai adat lapuk yang ketinggalan zaman. Sama seperti kegiatan keagamaan lain-lain, kegiatan upacara ajaran Tao turut ditekan oleh pemerintah Republik Rakyat China yang berfahaman Komunis. Ajaran Tao terus hidup dan diamalkan oleh masyarakat Cina di Taiwan, Malaysia dan lain-lain negara seberang laut dengan sedikit percampuran dengan unsur-unsur masyarakat tempatan tempat mereka bertempat tinggal.
Pada masa kini, ajaran Tao diiktiraf oleh Republik Rakyat China sebagai antara lima agama yang dibenarkan pengamalannya secara terkawal oleh pihak pemerintah.
No comments:
Post a Comment