Saturday 14 June 2014

Imam Hu Songshan


Mukadimah

Saya rasa tidak begitu ramai orang biasa dengan tokoh China Muslim yang terlibat dengan kegiatan nasionalisme di China atau di China Taiwan. Saya pernah berkenalan dengan beberapa orang dari wilayah barat China. Semasa musim haji tahun 2005, saya pernah mengikut kumpulan Muslim dari negeri Gansu bersolat di Masjidilharam. Beberapa orang antaranya dari wilayah Gansu dan belajar di Universiti Islam Antarabangsa. Berjual beli dengan orang Uyghur juga, kemudian bertukar nombor telefon dengan mereka.    

Setengah lagi belajar di Nilam Puri di Kelantan. Saya kenal mereka semasa bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Mereka boleh bertutur bahasa Melayu. Mungkin kita berasa hormat kepada mereka disebabkan oleh komitmen mereka terhadap ajaran Islam walaupun negeri mereka cuma satu wilayah di negara yang bermajoriti bukan Muslim.

Kenapa saya berkongsi hal ini? Saya cuma berkongsi sedikit sorotan sejarah Republik China moden disebabkan oleh setengah orang Melayu tidak boleh membezakan pertubuhan Guomindang (nasionalis China) yang turut dianggotai oleh umat Islam di China, Taiwan dan Muslim etnik Hui di seluruh dunia. Saya harap biografi ringkas ini boleh mengurangi kejahilan mengenai kaum kerana kita dikenali begitu disebabkan bahasa pertuturan kita juga. Bukan semestinya menerusi fizikal, warna kulit atau sempadan negara yang sering berubah mengikut zaman. 

Cerita Kita: Arab Peranakan vs. Hui 

Biografi ini mengingatkan kita bahawa umat Islam itu bersatu dengan paksi kalimah Tauhid serta sama-sama hamba Allah. Kisah imam ini sedikit menyedihkan kerana beliau menerima layanan yang buruk kerana ciri fizikal beliau seperti seorang Cina. Perbezaan sepatutnya menjadi titik tolak perkenalan, bukannya menjadi satu titik negatif untuk kita menindas dan bersikap mementingkan diri. 

Di samping itu, kita mestilah menghormati sesama sendiri walaupun berbeza budaya, bahasa, fahaman agama serta ideologi politik. Saya mendapati, kebanyakan generasi tua keturunan Cina di Penang sebenarnya berideologi politik nasionalis Cina mengikut parti Guomindang atau pun sekurang-kurangnya bersimpati dengan pertubuhan itu. Mereka bukan pengikut fahaman Komunis. Saya pernah terdengar perbualan seorang Melayu yang kelihatan seperti seorang India Muslim di CIMB Bank di USM. Saya agak mungkin dia orang negeri Perak. Di sebelahnya, seorang pelajar phd dari China. Pelajar itu bersembang mesra dengan lelaki Melayu itu selepas dia memperkenal dirinya sebagai seorang Muslim (etnik Hui). Selepas itu, lelaki itu terus memberikan komen negatif apabila pelajar itu bertanya mengenai sekolah jenis aliran Cina. Saya boleh melihat raut sedih di wajah calon phd Muslim dari China itu. Saya kenal pelajar itu walaupun tidak pernah bertegur sapa. Walaupun etnik Hui di China bukan etnik Han (Cina), namun bahasa, keturunan dan budaya mereka,  adalah bersifat China.

Keadaan peranakan Arab lama di sini pun begitu. Kami mungkin terserap ke kebudayaan Melayu, Thailand, Myanmar atau kebudayaan Indonesia kerana nenek moyang kami berada di rantau tersebut sebelum kurun ke-19 M. Kesetiaan kami kini dibentuk oleh sejarah tempat nenek moyang kami jatuh. Keturunan peranakan Arab yang lelaki mengikut adat boleh menikah dengan wanita bangsa lain atau bangsa sendiri. Sebaliknya, wanita kami dilarang menikah lelaki bangsa lain walaupun seagama. Begitulah adat kami seperti yang disebut oleh orang-orang tua. Datuk sebelah bapa saya sendiri pun berkahwin dengan saudara-mara sendiri seperti sepupu dan cuma nenek saya saja bukan dalam kalangan keluarga. Datuk saya bernikah dengan nenek saya selepas bercerai dengan isteri pertama beliau, sepupu sebangsa. Seperti etnik Hui, saya pun menghadapi masalah kerana cara fikir saya berbeza dan pergaulan saya juga berbeza dengan cara rakyat berbangsa Melayu. Bapa saya didaftar sebagai bangsa Melayu pada 1948 mengikut sistem negara-bangsa oleh rumah pasung British kerana negeri Kedah cuma negeri naungan empayar British. Cuba rujuk surat beranak datuk dan nenek anda yang lahir pada 1930-an? Bezakan bahagian bangsa/kerakyatan mereka yang dari Pulau Pinang (negeri Selat) dengan negeri-negeri Melayu "tidak bersekutu"? Kami cuma mengetahui hal keturunan menerusi orang-orang tua yang membaca nama datuk-datuk. Manakala saya sendiri meminta bantuan dari India dan Pakistan untuk mengesan nenek-nenek moyang. 

Etnik Peranakan Arab sudah berada di beberapa rantau di Malaysia, Thailand, Myanmar dan Indonesia semenjak beberapa abad sebelum kedatangan British dan Belanda. Dalam awal kurun ke-19 M pun masih terdapat orang Arab yang berhijrah ke sini dari Mesir, Yaman, Madinah dan Mekah. Mereka dipandang oleh kami sebagai pendatang baru. Terdapat beberapa gelombang kemasukan sehingga terdapat juga kerabat diraja serta keturunan menteri-menteri yang berkahwin dengan etnik Arab. Sama seperti di Brunei, Serawak atau Indonesia, setengah keturunan Arab di negeri Kedah pun menerima gelaran Wan dari pihak istana. Penggunaan gelaran seperti Syed itu masih baru di sini untuk merujuk orang Arab Peranakan keturunan Fatimah r.a dan Ali r.a. Kami biasa menyebut diri sebagai bani Hashim sahaja kerana mengikut keturunan sebelah lelaki. Bukan mengikut keturunan perempuan. Kebanyakan "Wan" Arab Peranakan menukar gelaran diri disebabkan bimbang salah faham kerana 'Wan" merupakan gelaran untuk mereka yang dilantik menjadi penghulu (bertindak seperti gabenor) wilayah-wilayah jajahan sultan. Biasanya, orang Arab dari Pakistan, Yaman, Iraq, Asia Tengah dan India. Golongan wanita saja yang digelar Syarifah. Kini, kami menolak sebarang gelaran disebabkan tiada masa untuk perkara-perkara leceh. Kakak sulung saya pun melanggar adat berkahwin dengan lelaki Melayu dari Perlis. Begitu juga kakak ketiga saya, berkahwin dengan lelaki keturunan India dari negeri kami sendiri.

Biografi Ringkas Imam Hu

Nama beliau 虎嵩山 Hu Songshan. Beliau menganggotai pertubuhan persaudaraan Cina Muslim (Yihewani). Nama Muslim beliau, Sa'aduddin. Bapa beliau adalah seorang Syeikh bagi cawangan tariqah Naqshabandi di China.

Walaupun berlatarbelakang Sufi, namun beliau tidak berminat dengan Tasawwuf. Beliau sendiri menghancurkan makam bapa beliau di mukin Tongxin, rantau autonomi Ningxia. Beliau berhaji di Mekah pada 1925, dan beliau langsung tak merasai kesatuan umat Islam disebabkan layanan perkauman oleh Muslim dari benua-benua lain. Jadi, selepas itu beliau pun berkeputusan untuk menyokong nasionalisme Cina di negara beliau selepas pulang. Bangsa Arab pun boleh jadi perkauman dan jika kita semua tidak meninggalkan sifat Taghut ini, maka kita pun gagal lah sebagai hamba Allah.

Imam Hu berhenti terus berkempen untuk negara Islam dan pemisahan diri dari China. Beliau berkempen pula untuk China bersatu dan kukuh. Beliau melihat etnik Hui (Muslim Peranakan) dan etnik Han (Cina) turut mengalami layanan yang sama serta dipandang hina oleh orang asing. Beliau pun bersama dengan parti Guomindang membawa penduduk pelbagai etnik di China untuk bersatu. Beginilah orang Cina dan yang berbahasa ibunda Cina tanpa mengira agama di seluruh dunia bersatu secara politik dan sosial pada awal abad ke-19 M.

Imam Hu menentang imperialisme asing di China serta menentang penjajahan regim tentera Jepun di China dalam perang Sino-Jepun 1937. Beliau mengeluarkan fatwa supaya bendera Republik China diberi penghormatan setiap kali selesai solat Subuh ketika itu. Beliau berkhutbah bahawa mencintai watan (China) itu sebahagian daripada iman.

Yang menarik untuk disoroti pada diri tokoh ini adalah beliau menolak penglibatan pengaruh asing di China serta mempromosi pendidikan untuk semua. Beliau menyuruh pelajar-pelajar Muslim supaya jangan memandang rendah bahasa Cina. Sebelum itu, pelajar Muslim cuma mengaji Quran dan belajar bahasa Arab saja di madrasah mereka. Beliau membuat penambahan subjek-subjek lain lagi seperti matematik, bahasa asing dan sains moden. Beliau turut berusaha menterjemah teks-teks mengenai Islam ke bahasa Cina.

- 馬天寧 

Ma Tianning, 18 Jun 2011, hari Sabtu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...