Tuesday, 13 May 2014

Dinasti Xia: Sejarah Tradisional


Jika anda pernah belajar di tingkatan enam, saya pasti mereka yang belajar di aliran sastera yang mengambil sejarah akan bertemu dengan silibus-silibus seperti tamadun dunia. Salah satu esei nanti boleh jadi menyentuh juga tamadun China dan Sungai Kuning (Sila Klik). Saya suka belajar sejarah. Ia membantu kita menyoroti peristiwa lampau dan berguna untuk muhasabah memperbaiki diri. Seorang pelajar bidang Syariah atau Perundangan Sivil yang mahu menjadi seorang pengamal undang-undang seperti peguam pun mesti mempunyai asas pengetahuan sejarah. 

Sumber Riwayat

Di sini, saya cuba membawa pembaca menyoroti peristiwa-peristiwa di benua China secara ringkas-ringkas. Bukan sahaja berkongsi pelajaran bahasa Cina serta pengalaman. Saya berharap saudara-saudari dapat menambah pengetahuan, memperluas persahabatan dan bergembira selalu. Itu saja lah harapan saya.

Berbalik ke dinasti Xia ini, ia diceritakan semula dari riwayat:
  • 書經 Shu Jiĕng, Sejarah Klasik.
  • 竹書紀年 Zhushu Jiñen, Babad Buluh 
  • 太史公書 Taishir Gungsho, Catitan Sejarawan Utama oleh 司馬遷 Sima Qian.
Tersimpan dalam dokumen bahawa puak yang mewujudkan dinasti Xia ini adalah puak 華夏 Hwaxia yang merupakan nenek moyang bangsa Han (orang Cina zaman moden).

Terbitan dan Perkembangan Permulaan

Menurut teks Cina purba, sebelum diasaskan dinasti ini, peperangan sering terjadi antara puak Xia dengan puak 九黎 Jiuli yang dipimpin oleh 姜蚩尤 Jeang Chiyou. Puak Jiuli ini menjadi nenek moyang suku kaum Miao dan sebahagian daripada kaum Dongyi.

Puak Xia (Cina Purba) berkembang perlahan-lahan semasa zaman maharaja 顓頊 Zhuanxu. Taishi Gungshu dan 禮記 Liji menyebut bahawa maharaja Yu adalah cucunda Zhuanxu, namun rekod lain seperti 班固 Panku menyebut bahawa Yu itu keturunan kelima Zhuanxu. Berdasarkan Bangu, didakwa bahawa dinasti Xia itu berketurunan Zhuanxu.

Cubaan Gun Menahan Banjir Besar

Gun, bapa kepada Yu, dicatit sebagai ahli puak Xia terawal. Semasa Sungai Kuning banjir, banyak puak suku kaum berganding bahu dalam mengawal banjir dan menghentikan bencana itu. Gun dilantik oleh raja Yao untuk menghentikan air bah. Beliau memberi arahan supaya tambak besar dibuat di laluan air. Cubaan ini berlangsung selama sembilan tahun, namun tetap gagal sebab banjir itu sungguh teruk. Selepas sembilan tahun, raja Yao menyerahkan takhta kepada raja Shun. Gun diperintah oleh raja Shun supaya dihukum pancung sebab gagal di 羽山 Yushan. Tempat itu kini kononnya terletak antara daerah Donghai di negeri Jiangsu dan daerah Linshu di negeri Shandong.

Cubaan Yu Menghentikan Banjir

Yu disuruh oleh raja Shun untuk menyelesaikan kerja bapanya. Kaedahnya lebih maju daripada kaedah bapanya. Dia mengatur orang ramai pelbagai puak untuk membantu pembinaan terusan di semua sungai-sungai utama serta menghalakan air ke laut. Yu sangat serius dengan usahanya. Penduduk pun memuji ketabahannya serta mereka pun menjadi semangat untuk bekerjasama. Lagenda menyebut usaha Yu itu tanpa henti selama 31 tahun. Dia tak pernah balik ke rumah di kampung untuk berehat pun walaupun melalui rumahnya tiga kali.

Penubuhan Dinasti Xia

Kejayaan Yu mengekang banjir ini turut disertai dengan pertambahan hasil pertanian. Pengaruh puak Xia pun berkembang dan Yu turut menjadi penaung bagi puak-puak lain di sekeliling. Kemudian, raja Shun menghantar Yu memimpin tentera untuk berperang dengan puak Sanmiao yang selalu mengacau puak-puak di perbatasan.

Selepas Sanmiao dikalahkan, mereka dihalau ke selatan di rantau Sungai Han. Kejayaan ini turut menambahkan lagi pengaruh puak Xia. Raja Shun pun turut menyuruh Yu menggantikan kedudukan menjadi raja bila baginda sudah berumur. Perlantikan Yu menjadi raja ini menjadi titik tolak permulaan dinasti Xia. Sebelum mangkat, raja Yu menabalkan anakanda baginda, raja Qi menjadi raja. Baginda memulakan sistem pewarisan takhta dan tidak melantik calon-calon bukan keluarganya lagi. Raja Jie, yang terakhir sekali dari dinasti Xia sangatlah jahat. Baginda digulingkan oleh Tang, raja pertama dinasti Shang.

Negara Qi

Selepas dinasti Xia digulingkan, keturunan diraja Xia bertaburan melarikan diri. Setengah mereka diserap masuk oleh puak-puak lain yang berdekatan. Setengah lagi bertahan di negara Qi (Henan) sehingga 445 SM. Negara Qi ini mempunyai rekod tulisan tilik takdir yang di zaman moden ini menjadi penyokong bagi kewujudan dinasti Xia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...