Thursday 31 October 2013

Bunyian Tembur Uyghur

Assalaamu'alaikum wa rahmatullah

Sedikit kesenian orang Uyghur dari Barat China... Pemain alatan bunyian tersebut bernama Yakub Abu Bekri.

 

Minta jangan dengar 30 minit sebelum solat dikhuatiri melalaikan! Video hanya sekadar untuk pendidikan sahaja, bukan hiburan.

Wednesday 30 October 2013

Orang Han

Assalamu'alaikum wa rahmatullah


Orang Han ini merupakan etnik China yang terbesar sekali dan bahasa mereka digunakan sebagai bahasa kebangsaan di China dan Taiwan serta merupakan salah satu bahasa kebangsaan di Singapura dengan pelbagai jenis loghatnya. Di Malaysia, kerajaan mempunyai peruntukan bagi sekolah jenis kebangsaan Cina untuk ahli masyarakat Malaysia yang berbahasa dan berketurunan Cina. Tamadun Cina dipanggil sebagai Huaxia menurut kepada kesusasteraan Cina lama.

Menurut kepada Liu Xuediao (2005) dalam 中國文化史講稿 Zhung Guo Wenhua Shi Jianggao memetik Zuo Zhuan yang mencatatkan bahawa, perkataan xia ini membawa maksud agung dan digunakan bagi merujuk kepada tatacara beradab dalam upacara orang Cina. Manakala perkataan hua membawa maksud gemilang yang merujuk kepada pakaian yang cantik dipakai orang Cina. Apabila dua perkataan ini digabungkan maknanya ia merujuk kepada sebuah masyarakat yang bertamadun. 

Istilah Rujukan

Dalam makna sebenarnya, Huaxia merujuk kepada gabungan puak-puak manusia purba yang bertempat tinggal di sepanjang Sungai Hwang Ho atau Sungai Kuning. Mereka ini kemudian menjadi nenek moyang yang menurunkan keturunan Han atau orang Cina hari ini. Semasa zaman Peperangan antara Negara (475-221 SM), kesedaran jati diri Huaxia sudah berkembang dan bertapak di China purba. Awalnya, istilah Huaxia ini cuma ditakrifkan sebagai masyarakat bertamadun yang berbeza dan berlawanan dengan perkara yang dipandang sebagai tak bertamadun di sekeliling mereka kerana tidak menurut cara mereka.

Pada zaman moden, istilah ini selalunya digunakan terpisah tulisan ideogramnya itu bagi mewakili perkara yang berbau kecinaan. Nama rasmi bagi Republik Rakyat China dan juga Republik China ada menggunakan karakter Cina Hua dan Xia yang digabungkan dengan istilah 中國 Zhungguo iaitu 中華 Zhung Hua atau Tiong Hua dalam bahasa Cina Hokkien. Republik China itu merujuk kepada Taiwan sedangkan Republik Rakyat China merujuk kepada Tanah Besar China. Tanah Besar China memakai nama 中華人民共和國 Zhunghua Renmin Gunghe Guo manakala Taiwan memakai nama 中華民國 Zhunghua Min Guo

Hari ini, istilah Zhung Guo selalu merujuk kepada negara bangsa China sedangkan istilah Zhunghua atau Tionghua merujuk kepada tamadun Cina. Kata Hua itu menjadi hampir setara dengan pengertian tamadun Cina. Karakter Hua pun selalu digunakan bagi merujuk orang yang beretnik Cina dalam istilah 華人 Hua Ren dan orang Cina Seberang Laut seperti di Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Kemboja, Amerika Syarikat dan sebagai dengan panggilan 華僑 Hua Qiao. Orang Cina di seberang laut di Asia Tenggara kebanyakannya berketurunan orang China Selatan. Jadi mereka turut mempunyai perkaitan dengan bangsa Barbarian selatan China yang bukan keturunan Han.

Asal-Usul

Orang Cina merujuk diri mereka sebagai anak cucu kepada maharaja Yan dan maharaja Hwang. Kedua-dua mereka ini merupakan ketua puak etnik Yanhwang di China purba yang berdiam di lembangan Sungai Kuning. Maharaja Yan berbakat dalam pertanian sampai pertanian berkembang dalam kalangan puaknya sedangkan maharaja Hwang pula mencetuskan banyak jenis rekaan dan akhirnya mencetuskan tamadun asas bagi tamadun Cina hari ini. 

Maharaja Huang dan maharaja Yan ini disebut dalam sastera Cina lama sebagai manusia purba di lembangan Sungai Kuning. Mereka dianggap sebagai nenek moyang sedarah daging dengan orang Cina hari ini walaupun tiada bukti arkeologi membuktikan dakwaan tersebut. Pahaman tradisional Cina menyebut bahawa maharaja di bumi itu adalah anak kayangan berdasarkan pepatah purba, "Mengasuh negara China tetapi juga memukul bangsa liar di empat penjuru". Anak kayangan bukan sahaja menjadi pemimpin negara China tetapi juga menjadi pemimpin bangsa liar di empat penjuru. 

Catitan sejarah China menyebut, "Maharaja Hwang di tengah, sedangkan bangsa liar empat arah itu melayani maharaja". Maksudnya mungkin orang-orang yang dianggap liar dan tak bertamadun itu dijadikan hamba rakyat maharaja Hwang. Kemudian, tak mengira sama ada bangsa Yu, bangsa Zhou, bangsa Shang dan bangsa Xia dalam persekutuan bangsa Huaxia; begitu juga bangsa yang dianggap liar di empat arah mata angin iaitu bangsa Yi, bangsa Man, bangsa Rong dan bangsa Di menganggap maharaja Hwang sebagai nenek moyang atau datuk tertinggi menggelarkan diri mereka sendiri sebagai anak cucu Hwang Yan atau keturunan Yan Hwang.

Sebagai tambahan juga daripada bangsa Han, bangsa di luar lembangan tengah pun banyak membangsakan diri mereka sebagai keturunan orang-orang yang diketuai dan diperintah oleh Yan Hwang itu. Beberapa bahagian dalam empayar China dan beberapa dinasti di kepulauan Jepun pun ada memuja papan nama maharaja Yan dan maharaja Hwang di papan senarai salasilah diraja mereka. 

Budaya Huaxia, Maharaja Yan serta Maharaja Hwang

Dalam sastera dan lagenda China purba itu, maharaja Yan dan Hwang itu kedua-duanya dipandang sebagai nenek moyang mula. Maharaja Yan dan Hwang kemudian membawa puak masing-masing bersatu membentuk menjadi bangsa Huaxia. Semasa zaman dinasti Han kemudian dipanggil bangsa Huaxia sebagai bangsa Han dan semasa zaman dinasti Tang pula disebut bangsa Huaxia menjadi bangsa Tang.

Kedua-dua mereka ini dikenali sebagai pengasas kesenian dan kebudayaan Cina. Lagenda amenyebut bahawa mereka bersama dengan menteri-menteri merekacipta ciptaan-ciptaan budaya yang penting dan bertahan melalui zaman. Dari segi pertanian, maharaja Yan mencipta peralatan dan juga teknik-teknik seni bertani. Bagi seni perubatan pula, maharaja Hwang pula mencipta seni akupunktur serta mewarisi seni perubatan tradisional herba Cina daripada dewa Pertanian, Shen Nong. Buku warisan perubatan tradisional Cina antaranya adalah Zhenjiu Jiayi Jing, Ming Tang Zhenjiu Tu, Hwangdi Nei Jing, dan Hwangdi Zhenjiu Hama Ji. Maharaja Hwang juga membuat kasut rajut daripada rumput untuk menteri-menteri nya.

Lebih mendalam lagi, maharaja Hwang dianggap sebagai punca kebudayaan Cina, dan teknologi mereka seperti diterangkan dalam sastera lagenda mereka, "Sebelum maharaja Hwang itu, tiada rumah langsung. Maharaja membuat rumah, membuat pakaian, membuat khemah bumbung majlis pengebumian orang meninggal sampai memudahkan orang ramai".  Luozu mencipta teknik membela ulat sutera dan tenunan, Cangjie mencipta tulisan, maharaja Hwang mencipta roda manakala Ling Lun mencipta bunyian. Ahli arkeologi menyebut bahawa tiada bukti arkeologi berkenaan penciptaan bahan-bahan ini yang datang daripada tokoh-tokoh ini namun mereka pun tak ada sebab juga untuk menafikan semua bahan-bahan bukan kerja tokoh-tokoh tersebut. 

Waktu Solat

Assalaamu'alaikum wa rahmatullah


Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi singgah ke mari. Sudah lama saya tidak kemas kini bahagian yang ini. Saya tidak tahu hendak berkongsi apa mengenai bahasa atau kebudayaan Cina. Ada buah fikiran sahaja baru saya buat masukan....

Masukan yang ini, saya cuba perbuat untuk waktu salat atau sembahyang. Kalau terjemahan bahasa Melayu itu, setengah orang kata bahawa sembahyang itu tak begitu sesuai. Jika tidak sesuai, kenapa para pendakwah zaman dahulu perguna perkataan ini untuk dipakai semasa berbicara dengan orang Melayu di rantau Asia Tenggara ini? Sembahyang ertinya memberi tabik hormat kepada langit. Langit dalam pemahaman orang zaman purba, bukan semestinya orang Melayu yang bekas-bekas penganut agama Hindu-Buddha itu sahaja; membawa erti segala perkara yang melibatkan Tuhan, roh nenek moyang serta sebagainya. Mengenai Tuhan pula, janganlah kita berspekulasi mengenai jisim Nya. Sesungguhnya berspekulasi perkara yang Tuhan tidak pernah sampaikan kepada kita menerusi kitab suci itu adalah haram, fitnah dan berdosa.

Jadi, salat dalam bahasa Cina disebut sebagai:

禮拜 li bai salat

Kalau nak sebut bahasa Arab pun, orang Hui boleh memahaminya. Tapi sebutan Sino-Arabnya agak pelik sedikit bunyi nya.... 

賽倆特 s'ai liang te atau solat menurut bunyi bahasa Arab yang disebut di negara China 

atau pun....

薩拉赫 s'ai la he atau solah yang sama macam bahasa Melayu....

Jika bercakap dengan orang ramai, sebaiknya pakai sahaja perkataan li bai sahaja kerana lebih difahami ramai termasuk oleh non-Muslim. 

禮拜的時間
Li bai de Shijian
Waktu Solat

晨禮 chen li solat subuh

晌禮 sheong li solat zohor

晡禮 bu li solat asar

昏禮 hun li solat maghrib

宵禮 xiao li solat isyak

Selain itu, di negara China pula setengah orang Hui yang berketurunan Persia akan menggunakan kata 乃瑪子 namazi yang bermaksud sembahyang dalam bahasa Parsi sama seperti orang di India, Iran, Afghanistan, Pakistan dan Turki juga. 

Kalau solat beramai-ramai itu, dipanggil 會禮 hui li atau solat jemaah. Solat berjemaah boleh dibuat di mana-mana juga seperti di masjid, di rumah, di surau atau dalam bilik.

Jadi sekarang saya nak masukkan ayat yang saya petik saja di mana-mana pun dan diharapkan ia mudah dan boleh dipakai oleh semua orang... 

每個星期五的晌禮需集體到清真寺參加,稱為“主麻禮拜”或簡稱“聚禮”。

Mei ge xingqi wu de sheong li xuyao jili dao qingzhensi can jia, chengwei zhuma libai huo jiancheng ju li.

Setiap hari Jumaat punya waktu Zohor harus pergi menyertai jemaah di masjid, dipanggil lah sebagai solat Jumaat atau ringkasnya sembahyang Jumaat.

在重大宗教節日的禮拜稱為“會禮”
Zai zhong da zung jiao jie ri de libai chengwei hui li 

Solat pada perayaan keagamaan utama disebut sebagai solat jemaah. 

Kosa Kata

每個 mei ge setiap
星期五 xingqi wu hari Jumaat
de punya
晌禮 sheongli solat Zohor
xu harus
ji li berkumpul sembahyang
dao ke
清真寺 qing zhen si masjid
參加 can jia menyertai
稱為 chengwei disebut
主麻禮拜 zhuma libai solat Jumaat
huo atau
簡稱 jian cheng mudahnya disebut
聚禮 ju li solat Jumaat (tulisan ringkas)

zai pada
重大 zhung da penting, utama
宗教 zhung jiao agama, keagamaan
節日 jie ri perayaan

Erm, seperti biasa tulisan bahasa Cina yang disertakan itu sebenarnya bagi sesiapa yang berminat hendak mengetahui bunyi sebutan perkataan kerana sebutan bahasa Cina berbeza-beza mengikut loghat wilayah. Kalau nak bercakap dengan orang Cina di Malaysia sila pastikan jangan guna sebutan negara China kerana mungkin akan dipandang serong sebagai pendatang haram. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...