Sunday, 21 August 2011

Perayaan Hantu Lapar

 Tokong sementara menggambarkan neraka di Georgetown. Picture credit to Horrocks Herald.

Bercakap pasal perbendaharaan kata sahaja akan menjadikan kita bosan dan mengantuk. Jom kita kenali perayaan orang Cina yang dirayakan di serata dunia ini. Baru-baru ini sahaja perayaan Hantu Lapar dirayakan di Penang. Perayaan ini dipanggil sebagai 餓鬼節 E Gui Jie atau Perayaan Hantu Lapar dirayakan dalam bulan tujuh kalender qamariah orang Cina. Bagi pengikut Tao, mereka merujuknya dengan 中元節 Zhong Yuan Jie manakala bagi penganut Buddha, perayaan ini dipanggil sebagai  盂蘭盆 Yulan Pen.

Menurut adat resam orang Cina, hari ke-13 dalam bulan ketujuh dipanggil sebagai Hari Hantu manakala bulan ketujuh biasanya dipanggil sebagai 鬼月 gui yue atau bulan hantu. Hari yang ke-13, hantu-hantu atau roh nenek moyang akan naik dari neraka. Perayaan ini adalah perayaan yang mana roh nenek moyang dibenarkan pulang oleh penjaga neraka bagi melawat ahli keluarga mereka yang masih hidup. Ada juga roh liar yang hanya berkeliaran mencari hiburan. 

Pada hari yang ke-13 dalam bulan qamariah ke-7, ketiga-tiga alam yakni alam neraka, alam kayangan, dan alam fana akan dibuka lalu bertembung. Penganut ajaran Tao dan Buddha masing-masing akan melakukan upacara amal menurut kepercayaan mereka bagi mengurangkan kesengsaraan roh-roh yang berkeliaran. Biasanya akan ada upacara sembahan kepada roh nenek moyang seperti kegiatan pembakaran wang neraka, dan bungkusan pakaian kepada roh nenek moyang. Zaman ini ada replika ipod, telefon bimbit, komputer, pasport, atau benda-benda yang lain yang dipikirkan berguna kepada roh-roh dalam neraka.

Wayang Cina untuk Perayaan Hantu di Penang. Pic source Horrocks Herald.

Biasanya akan ada pentas wayang untuk perayaan hantu dekat dengan pasar-pasar. Pengalaman saya berbelas-belas tahun yang lalu lah, akan ada kerusi kosong di depan platform wayang Cina katanya untuk roh menonton wayang. Orang Kantonis biasa sewa dewan kosong untuk pertontonkan wayang kepada hantu-hantu yang ingin berhibur dan di belakang biasanya akan ada pengawal alam ghaib mengawal kelakuan hantu-hantu atau roh-roh menurut kepercayaan Tao. Sekarang ni dah maju sikit, ada 歌台 koh tai atau pentas nyanyian yang mana akan ada 阿姐 ah cheh yang memakai baju seksi-seksi menyanyi dan menari di atasnya.

Pemandangan semasa Perayaan Hantu, ada sembahan makanan dan colok di jalan, di depan rumah, dan sebagainya. Pic source Horrocks Herald.

Baru sahaja beberapa minggu lepas saya berjalan-jalan kat Sungai Dua dekat Masjid al-Malik Khalid kami. Ada satu keluarga Cina membakar kertas-kertas di depan kedai mereka. Saya tak sempat pula hendak periksa kalender. Benda-benda ni semua dilakukan untuk mengelakkan kejadian buruk lah sebab katanya roh orang mati pun boleh memberi mudarat kepada yang masih hidup ni. Ada banyak lah pantang larang dalam perayaan sebegini.

Selalu juga akan ada pacak bendera bentuk tiga segi tu ada tulisan-tulisan padanya untuk membantu roh-roh ini pergi ke tempat-tempat upacara. Lagi banyak bendera kita nampak, maksudnya kita dah dekat dengan kawasan upacara. Biasanya kat kawasan yang ada orang meninggal pun akan ada bendera macam ni. Perayaan tokong pon akan ada bendera-bendera ni.

Masyarakat Cina akan mendirikan satu tokong sementara seperti yang dibuat semasa Perayaan Hantu Lapar peringkat negeri Penang di Georgetown. Saya tak pergi melawat lah sebab dah masuk bulan Ramadan. Saya nak pergi ke masjid beribadat, ehehehe. Gambar-gambar ini pun saya terpaksa pinjamlah dari blog Horrocks Herald untuk tujuan pendidikan. Dulu-dulu saya memang ada melawat dan merasai perayaan ini sebab saya pernah tinggal di Cheras Kuala Lumpur dan juga mempunyai jiran-jiran berketurunan Cina.

Tokong sementara yang didirikan tu mewakili neraka. Maksudnya masuk dalam tokong tu, macam masuk dalam neraka lah, haha. Ada patung besar dalam tu mewakili 閻羅 Yan Luo iaitu dewa kematian atau dewa yang bertanggungjawab menjaga neraka atau dunia roh-roh. Dalam tradisi penceritaan Perayaan Hantu Lapar ini, semua yang mati akan turun ke neraka. Yan Luo walaupun nampak garang dan tak berperikemanusiaan, namun ia sebenarnya baik hati juga membenarkan roh-roh merayau di alam manusia bebas sekali setahun. Di meja dalam tokong sementara ada disediakan hidangan makanan, minuman, dan colok sebagai wakil bagi bahan-bahan duniawi yang para roh lapar tak dapat semasa berada dalam neraka.

Dalam perayaan Hantu Lapar ini, TV di Malaysia akan menayangkan juga filem-filem Cina yang memaparkan lagenda urban berkaitan dengan hantu-hantu atau roh. Saya selalu sahaja menonton filem-filem ini waktu kecil dahulu lah. Sekarang ni saya jarang menonton TV lagi kerana tak ada masa. Antara filem yang bertemakan Perayaan Hantu Lapar seperti filem the Maid diterbitkan di Singapura. Filem ini menggunakan medium bahasa Cina loghat Teochew dan bahasa Inggeris.

The Maid, lakonan Alessandra de Rossi sebagai orang gaji sebuah keluarga Cina pelakon wayang yang aneh. 

Tradisi Perayaan Hantu Lapar Penganut Buddha

Bagi penganut Buddha, mereka ada tradisi penceritaan Hantu Lapar mereka sendiri berasal dari India. Ia berdasarkan kepada lagenda penganut Buddha yang dikenali sebagai Modkalyayana yang dalam bahasa Cinanya disebut sebagai 目犍連 Mujian Lian dan ibunya. Tokoh ini sebenarnya antara murid terdekat Buddha Sakyamuni. Ibu Mujian Lian suka lah menghina orang fakir. Ibu Mujian Lian sering menyembunyikan wang dan menghalau orang fakir yang meminta kepadanya walaupun sudah dipesan supaya memberikannya. Akibat perbuatan itu, ibunya menjelma sebagai pettam dalam dunia bawah atau 捺落迦 naluojia neraka selepas mati. Pettam merupakan jenis roh yang tak dapat makan apa-apa kerana tekaknya sempit dan mudah berdarah tetapi perutnya sentiasa lapar kerana besar. Ia merupakan balasan untuk sifat kikir dan kedekut.  Dalam bahasa Cina, ia diterjemah menjadi 餓鬼 e gui atau hantu lapar.

Mujian Lian yang dapat melihat hal tersebut selepas mencapai arahang berasa simpati. Dia lalu meminta tunjuk ajar Buddha bagaimana caranya untuk memberi makan kepada pettam yang juga ibunya itu. Buddha mengarahkan supaya Mujian Lian menyediakan kepingan makanan dalam piring yang bersih, membacakan montra tujuh kali memberkati makanan tersebut, memetik jarinya dan memanggil keluar roh si mati lalu menyentuhkan makanan ke lantai yang bersih. Dengan berbuat begitu maka pettam akan lega dari laparnya. Dengan perbuatan berpahala ini, ibu Mujian Lian lahir lah semula sebagai seekor anjing dalam jagaan keluarga baik-baik. 

Mujian Lian meminta nasihat Buddha lagi bagaimana caranya supaya ibunya dapat dilahirkan semula sebagai manusia. Buddha kemudian menetapkan satu hari selepas musim panas dalam hari ke-14 bulan ke-7 kalender qamariah (pertengahan bulan Ogos) supaya Mujian Lian mempersembah makanan dan jubah kepada 500 orang bhikku. Pahala perbuatan ini menyebabkan ibu Mujian Lian lahir menjadi manusia semula.

Apabila ajaran Buddha masuk ke wilayah orang China, ia mula dipengaruhi oleh tradisi Konfucius. Penyembahan terhadap roh nenek moyang mula menggantikan upacara membebaskan kelaparan hantu lapar serta upacara menyembahkan dana pemberian kepada biara. Walau bagaimanapun kebanyakan kuil Buddha masih meneruskan amalan lama menderma kepada pihak biara sambil melaksanakan upacara untuk hantu lapar.   

special gratitude to Horrocks Herald for pictures and articles on Penang Hungry Ghost Festival

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...